Seorang wanita dari China yang kini menetap di Penang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap harga tiket masuk tempat pelancongan di Malaysia yang berbeza antara pelancong tempatan dan warga asing.
Menurutnya, perbezaan harga yang ketara di sesetengah tempat pelancongan bukan sahaja membuatkan pelancong rasa seolah didiskriminasi, malah boleh menjejaskan imej negara.
Wanita bernama Yin XiaoBai ini berkongsi pandangannya menerusi akaun XiaoHongShu, platform media sosial popular di China.
Katanya, walaupun beliau sangat menyukai suasana santai dan selesa di Penang, isu harga tiket pelancong ini sering menjadi tanda tanya besar dalam fikirannya.
“Saya dah tinggal lebih setengah tahun di Malaysia. Penang memang best, tapi satu benda yang buat saya pelik – kenapa harga tiket untuk pelancong asing mahal sangat berbanding penduduk tempatan?”
Yin mendakwa, hampir kesemua tempat menarik yang pernah dikunjunginya seperti Kuala Lumpur, Melaka, Kuching, Cameron Highlands dan Ipoh mengenakan caj berganda untuk pelancong asing.
Paling mengejutkan, katanya, sebuah muzium di Kuching mengenakan bayaran RM50 untuk pelancong, sedangkan penduduk tempatan hanya perlu bayar RM10 sahaja!
“Rasa Macam Dipinggirkan…”
Yin turut mengakui rasa kecewa setiap kali melihat papan tanda harga yang membezakan antara tempatan dan asing.
Malah, katanya ada ketikanya beliau terus berpatah balik dan batalkan niat untuk masuk kerana terasa “diperlakukan tidak adil.”
“Kadang-kadang saya sampai depan pintu masuk, tengok harga untuk pelancong lima kali ganda, terus hati jadi sakit dan saya pergi tempat lain. Malaysia memang cantik, tapi benda macam ni tolonglah ubah sikit.”
Beliau juga menegur sistem percukaian yang turut memberi kesan kepada warga asing – termasuk cukai hotel dan pembelian rumah dalam program Malaysia My Second Home (MM2H) yang dikenakan dengan kadar tinggi.
“Tolong Sembunyikan Harga Kalau Boleh”
Yin mencadangkan agar pihak pengurusan tempat pelancongan atau kerajaan menyediakan sistem pembelian tiket khas untuk warga tempatan yang tidak ditunjukkan kepada pelancong asing,
bagi mengelakkan jurang emosi dan rasa kurang senang.
“Kalau tak boleh sama rata, at least asingkan sistem pembelian tiket supaya pelancong tak tahu mereka kena bayar lebih. Ini boleh kurangkan rasa tak puas hati.”
Perspektif Tempatan Mengenai Tempat Pelancongan
Sebenarnya, sistem harga dua lapis ini bukan perkara baru di Malaysia – ia juga diamalkan di banyak negara lain.
Alasan utama? Untuk memberi subsidi kepada warga tempatan agar mereka mampu menikmati khazanah negara sendiri.
Namun, dari sudut pelancong asing seperti Yin, ia boleh jadi satu bentuk diskriminasi yang menyakitkan hati, lebih-lebih lagi apabila jurangnya terlalu besar.