Seorang warga China berusia 60 tahun, Yu Zefang (transliterasi), dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda S$2,000 pada 1 September lalu kerana telah tinggal melebihi tempoh visa selama lebih 28 tahun.
Memetik dari laporan Mothership.sg, Yu telah memperolehi pas pelajar pada April 1995 dan pada awalnya, beliau memperbaharuinya secara berkala.

Pas pelajar diperlukan oleh warga asing yang telah diterima masuk oleh sebuah institusi pendidikan untuk mengikuti pengajian sepenuh masa di Singapura.
Namun, selepas pas Yu tamat tempoh pada September 1996, dia terus kekal berada di negara itu.
Pada Oktober 1996, Yu ditahan kerana penyalahgunaan dadah dan pasportnya dirampas.
Selepas itu, dia diberikan pas khas oleh Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada 17 Oktober 1996, sementara menunggu hasil siasatan.
Pas khas ini membenarkan seorang warga asing untuk kekal secara sah di Singapura dan dikeluarkan untuk tujuan-tujuan tertentu, seperti membantu dalam siasatan.
Semasa memiliki pas tersebut, Yu dijangka akan melaporkan diri secara berkala kepada jabatan imigresen, namun dia gagal berbuat demikian.
Dia juga tidak dapat dikesan apabila pasnya tamat tempoh pada bulan November tahun itu.
Menurut laporan Zaobao, anak perempuan Yu, yang pada ketika itu berusia lapan tahun, telah memohon pas pelajar pada Januari 1997, membolehkannya untuk tinggal dan belajar di Singapura secara sah.
Bagi membolehkan dirinya kekal di Singapura untuk menjaga anak perempuannya, Yu telah mengambil keputusan untuk tinggal di negara itu secara haram.
Anak perempuannya kemudiannya telah diberikan status penduduk tetap pada Mei 2008, namun mahkamah tidak mendedahkan butiran mengenai permohonan status penduduk tetap tersebut.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Yu kekal berada di Singapura selama 28 tahun, satu bulan dan 11 hari, atau berjumlah 10,268 hari, dari 20 November 1996 hingga 30 Disember 2024, selepas pas khas yang diberikan kepadanya pada 1996 tamat tempoh.
Menurut laporan Zaobao, kes ini berkemungkinan merupakan insiden tinggal lebih masa yang paling lama pernah direkodkan, dan Yu memilih untuk menyerah diri kepada ICA pada 30 Disember 2024 kerana beliau ingin kembali ke China.
Menurut laporan Zaobao, Yu hadir di mahkamah pada 1 September, ditemani oleh keluarga dan rakan-rakannya, dan mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Peguam Yu merayu agar diberikan hukuman yang ringan, dengan menyatakan bahawa Yu menyesali perbuatannya dan memilih untuk mengaku bersalah.
Namun, hakim menyatakan bahawa Yu telah sengaja tinggal lebih masa di Singapura untuk tempoh yang lama.