Perjalanan di awan biru sepatutnya menjadi waktu untuk kita berehat, layan filem, atau sekadar melelapkan mata sebelum tiba ke destinasi.
Namun, pengalaman penerbangan boleh bertukar menjadi mimpi ngeri jika kita ‘terjebak’ dengan penumpang yang tidak memahami bahasa universal bernama Etika dan Adab.
Itulah yang terpaksa dilalui oleh seorang pengguna laman sosial Threads, @deardilah, yang berdepan satu situasi yang cukup menguji kesabaran sepanjang penerbangannya baru-baru ini.
Lebih mengejutkan, individu yang menjadi punca ketidakselesaannya itu bukanlah orang biasa, tetapi pempengaruh (influencer) terkenal dari Malaysia.
Menerusi satu hantaran yang kini tular di Threads, Dilah berkongsi kekecewaannya berserta beberapa keping gambar sebagai bukti.
Gambar tersebut memaparkan sepasang kaki bersarung stoking hitam milik penumpang dari kerusi belakang yang dengan selambanya menjalar masuk ke ruang tempat duduknya.
Bukan itu sahaja, wajah individu tersebut yang memakai baju sejuk berhud (hoodie) turut sempat dirakam dari celah kerusi.
Menurut luahan Dilah, penderitaannya bermula sejak pesawat berlepas (take off) lagi. “Dari take off kakinya naik ke seat gw. Kaki ketendang-tendang ke seat gw,” tulisnya.
Sebagai manusia biasa yang inginkan ketenangan, Dilah mengambil pendekatan matang dengan menegur penumpang tersebut. Namun, apa yang berlaku selepas itu benar-benar menguji tahap kesabarannya.
“Udah ditegor tetap begitu lagi. Tidur lagi dan balik lagi (letak kaki) macam ni. Sepanjang perjalanan macam ditendang dari kepala sampai kaki,” luahnya lagi di ruangan komen, menggambarkan betapa seksanya perjalanan tersebut.
Hanya apabila pesawat mendarat dan semua penumpang bersedia untuk keluar, barulah Dilah menyedari bahawa lelaki di belakangnya itu adalah influencer yang cukup dikenali ramai.
Jika kita letakkan diri kita di tempat Dilah, pasti rasa marah dan penat itu berbaur menjadi satu. Di dalam ruang pesawat kelas ekonomi yang sempit, sedikit tolak-ansur dan ‘common sense’ adalah amat penting.
Bayangkan, anda sedang cuba melelapkan mata atau membaca buku, tetapi kerusi anda tidak henti-henti bergegar akibat lutut atau kaki orang belakang.
Apabila ditegur secara baik, ia hanya diendahkan. Situasi ini bukan sahaja soal ketidakselesaan fizikal, tetapi ia satu bentuk pelanggaran ruang peribadi yang sangat tidak wajar, tidak kira siapa pun anda di dunia luar.
Hantaran Dilah yang telah ditonton lebih 1 juta kali itu pantas mengundang tumpuan netizen dari dua buah negara Malaysia dan Indonesia.
Rata-rata netizen bertindak menyindir gaya hidup mewah yang sering ditayangkan pempengaruh tersebut di media sosial, yang disifatkan ironi apabila beliau memilih untuk terbang dengan kelas ekonomi tetapi gagal mematuhi etika asas penerbangan.
Malah, sebilangan besar netizen Malaysia secara berseloroh enggan mengaku beliau sebagai wakil rakyat tempatan kerana menyifatkan kelakuannya amat memalukan.
Selain kritikan pedas berhubung tindakan tidak beradab meletakkan kaki di ruang kerusi penumpang lain, sebahagian netizen yang lebih rasional turut menasihatkan agar insiden seumpama ini dilaporkan secara terus kepada anak kapal atau pihak keselamatan penerbangan untuk tindakan tegas serta-merta.