Ada sebahagian yang pernah melancong ke China mendakwa ia sebagai sesuatu yang membosankan susulan negara itu yang terlalu artificial  dan mempunyai norma yang berbeza.

Seorang wanita Malaysia di TikTok Ryanalysaaa, berkongsi pengalaman uniknya menaiki teksi pandu sendiri di Shenzhen. Video tersebut menarik perhatian ramai warganet, di mana ramai kagum melihat kecanggihan teknologi teksi tanpa pemandu itu.

Dalam video tersebut, Lysa membidas pandangan sesetengah orang yang mengatakan “melancong ke China membosankan”. Sebaliknya, dia menunjukkan sistem teksi pandu sendiri yang canggih di negara itu, dan menyifatkan pengalamannya itu sebagai “sangat hebat”.

Dalam kapsyen, Lysa menyifatkan kenderaan yang dinaikinya itu sebagai “teksi robot” yang menawarkan “harga murah dan kenderaan mewah”.

teksi
Sumber Gambar: TikTok @rynalysaaa

Bukan calang-calang kereta, kenderaan yang dinaikinya adalah sebuah Lexus SUV mewah yang dipandu sepenuhnya tanpa pemandu. Malah, kereta itu sedia membunyikan hon sebaik tiba di lokasi yang ditempah sebagai peringatan kepada pelanggan.

Dalam video tersebut, Lysa dilihat memasuki teksi pandu sendiri yang kosong tanpa pemandu. Di tempat duduk penumpang hadapan, terdapat skrin elektronik yang memaparkan laluan, keadaan jalan raya semasa, dan trafik di sekeliling.

Wanita Malaysia Kongsi Pengalaman Naik Teksi Tanpa Pemandu Di China Buat Ramai Kagum
Sumber Gambar: TikTok @rynalysaaa

Menurut video itu, perjalanan sejauh 3.1 kilometer itu hanya berharga 21 RMB (kira-kira RM12.42). Paling menarik, terdapat diskaun sebanyak 10.1 RMB, menjadikan tambangnya sangat berpatutan.

@ryanalysaaa

Robot taxi only in Shenzhen, China ✨

♬ Fix You – No Drums Version – Instrumental – Seven Hills City

Menjengah ke ruangan komentar, rata-rata warganet tempatan meluahkan rasa kagum dengan kecanggihan teksi pandu sendiri yang dikenali sebagai robotaxi ini yang bukan sahaja memudahkan orang ramai malahan tampil lebih murah untuk digunakan.

Dalam pada itu, ada berseloroh yang jenis introvert pasti akan menyukai servis sedemikiandan sedia memberi rating 5 bintang buat servisnya.

Rupanya kereta automasi atau teksi pandu sendiri di China kini menjadi satu fenomena yang berkembang pesat. China merupakan antara peneraju utama dalam teknologi kenderaan autonomi.

Syarikat teknologi gergasi seperti Baidu (melalui platform Apollo Go) merupakan antara pemain utama dalam perkhidmatan robotaxi.

Perkhidmatan ini kini beroperasi di banyak bandar utama di China seperti Beijing, Wuhan, dan Shenzhen. Tambang perkhidmatan ini dilaporkan sangat berpatutan, terutamanya dengan diskaun yang ditawarkan.