Pada saban hari, semakin ramai pelancong yang datang Malaysia dan sedia berkongsi pengalaman menerusi media sosial masing-masing.
Baru-baru ini ,seorang wanita beragama Islam dari Perancis menceritakan lima benda yang dirinya sangat hargai tersedia di Malaysia dan tiada di negara lain.

Di dalam carousell gambar yang dikongsikan, pertama sekali dia sangat menghargai akan penawaran apartment atau tempat tinggal yang lengkap dengan kolam renang dan juga gimnasium.
Menurutnya di Malaysia, ia sesuatu yang biasa dan mudah untuk mencari kondo yang lengkap dengan fasiliti sedemikian pada harga berpatutan.
Sudah pasti perkara ini menjadi bonus buat dirinya untuk beriadah atau bersukan di dalam keadaan yang selamat.
Yang kedua, Assia sangat menghargai betapa mudahnya mendapatkan makanan halal di sini. Sebut sahaja dari menu bangsa atau negara mana sekali pun, pasti akan tersedia kedai atau restoran yang mempunyai sijil halal.
Nampaknya dia sudah mencuba pelbagai hidangan termasuk nasi lemak dan roti daging yang popular dari Xi’an, China yang terkenal di Bukit Bintang.
Dia percaya sesiapa sahaja yang datang ke sini boleh menikmati semua makanan sehingga kenyang tanpa perlu berbelanja banyak.
Seterusnya, dia memuji akan kemudahan pengangkutan awam yang selamat serta bersih. Assia turut mendapati keadaan pengangkutan awam di Malaysia sentiasa bersih dan teratur serta paling utama sekali mempunyai koc untuk wanita sahaja.
Ini sesuatu yang sangat dihargainya malahan dia sering menaiki MRT seorang diri dan masih merasa sangat selesa.
Selain itu, dia juga menghargai akan ketersediaan ruangan solat walau dimana jua. Perkara ini terbukti apabila di dalam pusat membeli-belah, lapangan terbang malah di dalam stesen kereta api sekalipun tetap disediakan ruangan solat yang kondusif buat pengguna.
Tambahnya, di sini tampak lebih mudah diakses jika nak dibandingkan dari negara asalnya di Perancis. Ini membuatkan hidupnya lebih mudah untuk memenuhi tuntutan agama dan tidak terhad di kawasan tertentu sahaja.
Akhir sekali, Assia memuji akan keindahan binaan masjid di Malaysia di mana mempunyai ruang yang sangat luas, bersih dan tenang.
Tidak sekadar itu, dia sentiasa merasa nyaman serta kondusif kerana fasiliti di masjid yang sentiasa dijaga dengan rapi serta mempunyai penghawa dingin sekaligus memberi keselesaan buat jemaah menjalani ibadah dengan selesa.
Rupanya Assia sudah berada di Malaysia sejak dua bulan lalu dan mendakwa pada awalnya dia sedikit takut untuk datang ke sini. Hal ini kerana dia tidak mempunyai sebarang info berkenaan negara Malaysia tetapi lama-kelamaan boleh beradaptasi dengan suasana dan budaya tempatan.