Seorang warga asing dengan nama @imsogxne dikecam teruk oleh rakyat Malaysia kerana mentertawakan seorang tokoh perwira agung, Hang Tuah yang namanya kini diabadikan di beberapa lokasi tarikan pelancong.
Dalam satu ciapan yang dibuat oleh warga asing tersebut, beliau memuat naik gambar senarai nama stesen MRT yang ada di tengah ibu kota Kuala Lumpur.
Gambar tersebut yang memaparkan stesen Hang Tuah dibulatkan dan ditertawakan oleh beliau seolah-olah perkara itu lucu dengan kapsyen – “Aku tidak akan datang ke Malaysia lagi.”
Disebabkan kejadian tersebut, berpusu-pusu rakyat Malaysia berkumpul di bahagian komen dan warga asing terbabit dikecam kerana didakwa tidak menghormati tokoh perwira Malaysia
“Hang tuah tak bunuh kawannya untuk buktikan kesetiaannya kepada sultan semata-mata untuk dijadikan bahan gurauan orang putih,” kata seorang netizen.
“Itu pahlawan legenda sejarah kami!” Kata netizen yang lain.
“Ayuh rakyat Malaysia, tunjuk dekat dia kenapa rakyat Malaysia nombor dua dunia dalam cyberbullying,” saran netizen.
Namun persoalannya, kenapa beliau mentertawakan tokoh pahlawan bumi Melaka ini?
Sebenarnya, apa yang ditertawakan oleh warga asing tersebut adalah salah faham, di mana dunia internet kini sedang hangat dengan meme Hawk Tuah.
‘Hawk Tuah’ ini pula merujuk kepada bunyi daripada aksi meludah, yang kini menjadi meme selepas ia dipopularkan oleh seorang gadis yang tidak sengaja mempopularkan Hawk Tuah tersebut.
Meme ini bermula semasa gadis ini ditemu bual dan ditanya dengan soalan-soalan yang provokatif, “Apakah satu pergerakan atas katil yang buat lelaki jadi gila?”
Tanpa berselindung, dia menjawab, “Oh, awak kena berikan ‘hawk tuah’ itu dan ludah pada thang itu, awak faham?”
Jawapannya yang bersemangat dan tidak ditapis itu telah menarik perhatian dunia internet dan mendorong orang ramai untuk melakukan meme ‘Hawk Tuah’.
Untuk rekod, Hawk Tuah dan Hang Tuah adalah dua individu berbeza yang dikenali disebabkan oleh dua perkara yang berbeza.
Seorang terkenal kerana sejarahnya yang membuktikan kesetiannya kepada sultan dengan membunuh rakan baiknya, manakala seorang lagi hanya gadis biasa yang memberi reaksi kepada soalan provokatif.