Lelaki warga Israel, Avitan Shalom dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, atas tuduhan memperdagangkan enam pucuk pistol pelbagai jenis dan memiliki 158 peluru di sebuah hotel di ibu negara, pada Mac lalu.

Lelaki yang memiliki pasport kewarganegaraan Perancis itu, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar, lapor Berita Harian.

Baca Juga:

“Saya faham (tuduhan) puan hakim. Saya mengaku tidak bersalah,” katanya.

Avitan yang memakai baju T hitam berseluar khaki warna hijau dan dikawal ketat empat anggota polis di kiri, kanan dan belakang kandang tertuduh , didakwa berdagang enam pucuk pistol di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, di sini, di antara jam 6.46 petang 26 Mac dan 6 petang 28 Mac lalu.

Mengikut pertuduhan, Shalom, 38 didakwa mempunyai enam senjata api dan peluru berkenaan pada 26 hingga 28 Mac lalu di Hotel Four Seasons, di sini.

Tertuduh menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat), yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam yang mewakili pendakwaan memberitahu mahkamah, pihaknya tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, peguam belanya, Navinjit Singh bersetuju dengan cadangan pihak pendakwaan dan tidak mengemukakan sebarang bantahan.

Mahkamah kemudian tidak memberikan jaminan kepada tertuduh dan menetapkan sebutan kes pada 21 Mei ini.

Dalam pada itu, pasangan suami isteri, Sharifah Faraha Syed Husin, 41, didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) (FIPAA) kerana memiliki pistol itu, manakala Abdul Azim Mohd Yasin, 43, mengikut Seksyen 9 akta sama kerana bersubahat dengan Faraha apabila dia didakwa mengetahui pistol itu dalam pemilikannya.

Sumber