Dalam perbicaraan mahkamah, didedahkan bahawa pihak berkuasa UK sedang dalam proses mendapatkan kembali £16.2 juta yang disyaki hasil penipuan Bitcoin daripada seorang individu warganegara Malaysia.
Memetik MalaysiaGazette, Hok Seng Ling, 47, mengaku bersalah atas pertuduhan pengubahan wang haram di Mahkamah Southwark, London. Pengakuan tersebut dibuat oleh beliau menerusi bantuan seorang penterjemah.

Pengakuan Ling, yang mengendalikan urus niaga kripto bagi pihak Qian (dalang utama dari China), berlaku sehari selepas Qian sendiri mengaku memainkan peranan utama dalam skim penipuan Bitcoin berbilion Pound itu
Mahkamah sedang meneruskan rampasan bagi mendapatkan semula berjuta-juta Pound daripada Ling yang tinggal di Derbyshire.
Jumlah akhir rampasan daripada kedua-dua individu ini akan ditentukan semasa hukuman dijatuhkan pada 10 dan 11 November depan.
Sebelum ini, Qian, 47, telah mengaku bersalah atas kesalahan memiliki harta jenayah (kripto). Jumlah rampasan Bitcoin di bawah namanya dianggarkan £5.5 bilion, menjadikannya rampasan kripto tunggal terbesar di dunia. Polis mengesahkan Qian telah menipu lebih 128,000 mangsa di China melalui skim yang berjalan dari 2014 hingga 2017.
Qian didakwa menyembunyikan wang haram itu dalam Bitcoin, melarikan diri ke UK, dan cuba membersihkan wang tersebut dengan membeli hartanah. Sementara itu, individu ketiga, Jian Wen, telah pun dihukum penjara enam tahun lapan bulan tahun lalu berikutan siasatan selama tujuh tahun ke atas operasi jenayah ini.
Menteri Keselamatan, Dan Jarvis, menegaskan: “Pengubahan wang haram menghakis kepercayaan awam, melemahkan ekonomi kita, dan meningkatkan jenayah terancang. Kes ini menghantar isyarat jelas bahawa UK tidak akan menjadi syurga bagi penjenayah dan pendapatan haram.”
Pihak pendakwa raya berkata, Ling mengambil alih peranan yang ditinggalkan oleh individu ketiga, Jian Wen, selepas Wen ditahan.
Penyiasat berjaya membuktikan bahawa Wen terlibat dalam mengatur pergerakan dompet mata wang kripto yang mengandungi 150 Bitcoin, bernilai sekitar £1.7 juta pada masa itu.
Sementara itu, Ling yang dipercayai bertindak sebagai pembantu kepada dalang utama, Qian, berperanan menukar wang tunai kepada mata wang kripto.
Ling dan Qian kekal dalam tahanan sementara menunggu hukuman dilaksanakan.