Baru-baru ini, tular di media sosial apabila aplikasi WhatsApp pengguna di Malaysia tiba-tiba disekat. Situasi ini membuatkan ramai pengguna panik.
Mana tidaknya, semua urusan kerja, mesej keluarga, gambar dan dokumen penting ada dalam WhatsApp. Tiba tiba akaun pula tidak boleh digunakan.
Baca Juga:
- WhatsApp Sedia Tawarkan Fungsi Menghantar Gambar Beresolusi HD Pada Mesej

- WhatsApp Perkenalkan Ciri ‘Screen Sharing’ Untuk Panggilan Video

Isu ini mendapat perhatian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) apabila ramai pengguna mendakwa akaun WhatsApp yang didakwa digodam dan kemudian dikenakan sekatan.
Susulan itu, MCMC memaklumkan pihaknya sedang berhubung dengan Meta bagi membantu menyelesaikan isu yang dihadapi pengguna.
Namun, sebelum terus menyalahkan pihak tertentu, ada beberapa perkara yang anda perlu tahu sekiranya akaun WhatsApp tiba tiba kena banned.
Jangan sesekali beri kod pengesahan kepada orang lain
Antara langkah paling penting adalah jangan berikan kod pengesahan WhatsApp kepada sesiapa.
WhatsApp mengingatkan pengguna supaya tidak berkongsi kod pendaftaran yang diterima melalui SMS dengan orang lain. Kod ini diperlukan untuk melengkapkan proses pengesahan nombor telefon.
Jadi, kalau anda tiba tiba menerima kod pengesahan walaupun tidak cuba mendaftarkan WhatsApp pada peranti lain, jangan terus panik dan jangan berikan kod tersebut kepada sesiapa yang memintanya.
Ada kemungkinan seseorang sedang cuba mengambil alih akaun anda.
WhatsApp juga kini mempunyai beberapa ciri keselamatan tambahan termasuk pengesahan dua langkah dan passkey untuk membantu melindungi akaun daripada cubaan pengambilalihan.
Akaun WhatsApp kena banned? Cuba buat semakan
Sekiranya WhatsApp memaparkan mesej bahawa nombor anda tidak boleh menggunakan WhatsApp, anda mungkin masih boleh membuat rayuan.
WhatsApp menyediakan pilihan ‘Request Review’ dalam aplikasi untuk pengguna yang merasakan akaun mereka disekat secara tidak tepat.
Caranya mudah. Tekan ‘Request Review’ dan ikuti arahan yang diberikan. WhatsApp menyatakan kebanyakan semakan diselesaikan dalam tempoh 24 jam, sebelum keputusan dimaklumkan kepada pengguna.
Bagaimanapun, jika pilihan tersebut tidak muncul, WhatsApp menyatakan ia bermaksud sekatan berkenaan adalah muktamad dan tidak boleh dirayu melalui proses tersebut.

MCMC bukan pihak yang menentukan akaun kena banned
Ini juga perkara yang penting untuk difahami.
Dalam responsnya kepada pengguna berkenaan, MCMC menyatakan pihaknya sedang berhubung dengan Meta bagi membantu menyelesaikan isu tersebut.
Namun, WhatsApp sendiri menjelaskan bahawa hanya WhatsApp yang boleh mengenakan atau membuang sekatan terhadap akaun WhatsApp. Pihak ketiga tidak boleh membatalkan sekatan bagi pihak pengguna ini termasuk MCMC, kerajaan atau Perdana Menteri.
WhatsApp turut menjelaskan bahawa akaun boleh dikenakan sekatan sekiranya aktiviti pada akaun dipercayai melanggar Syarat Perkhidmatan, termasuk spam, penipuan atau aktiviti yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna.
Dalam situasi seperti ini, pengguna boleh menggunakan saluran semakan yang disediakan WhatsApp, manakala MCMC pula boleh membantu mengemukakan atau menyelaras isu pengguna dengan pihak platform.
Paling penting, jangan sesekali berikan kod pengesahan WhatsApp kepada orang lain, walaupun individu itu mendakwa boleh membantu mendapatkan semula akaun anda.
Satu kod yang kelihatan seperti enam nombor biasa itu mungkin menjadi kunci kepada siapa yang akhirnya mengawal akaun anda.