Xavi Hernandez rasmi diumum sebagai pengurus baharu Belanda. Menjadikan dia pengurus import pertama The Oranje.
Belanda tidak perlukan seorang lagi pengurus yang sekadar menukar nama dalam kesebelasan utama.
Mereka perlukan identiti. Selepas tersingkir kepada Maghribi menerusi penentuan penalti di pusingan 32 terakhir Piala Dunia 2026, serta kritikan terhadap pendekatan yang terlalu berhati-hati.
Xavi Hernández, head coach Oranje. 🔶#NothingLikeOranje #Xavi2030 pic.twitter.com/q5gpajYoga
— OnsOranje (@OnsOranje) August 13, 2026
Xavi datang dengan satu misi jelas iaitu Belanda mesti kembali menjadi pasukan yang mengawal permainan, bukan hanya menunggu ruang untuk melakukan serangan balas.
Xavi sendiri mengaitkan falsafahnya dengan warisan Johan Cruyff, Rinus Michels, Louis van Gaal dan bola sepak Belanda.
Jadi, ini bukan percubaan untuk mengimport falsafah asing. Lebih tepat, Xavi mahu menghidupkan semula DNA Belanda melalui bahasa bola sepak Barcelona: penguasaan bola, posisi, gerakan tanpa bola dan kawalan tempo.
1. Belanda akan lebih dominan dengan bola
Perkara paling mudah untuk dijangka ialah Belanda akan cuba bermain dengan lebih banyak penguasaan bola.
Tetapi penguasaan bola versi Xavi bukan sekadar hantaran ke kiri dan kanan untuk mencantikkan statistik.
Mereka akan cuba membina serangan dari bawah, menarik tekanan lawan, kemudian mencari pemain ketiga di antara garisan. Frenkie de Jong berpotensi menjadi pusat kepada struktur ini.
Apabila De Jong turun menerima bola, pemain lain perlu mencipta sudut hantaran dan mengisi ruang di hadapannya.
Jadi kita jangkakan Belanda akan lebih banyak mengawal tempo dan memaksa lawan bertahan lebih dalam.
2. Frenkie de Jong akan menjadi ‘metronome’ pasukan
Dalam sistem Xavi, pemain tengah bukan sekadar pemutus serangan atau pengedar bola mudah. Xavi sudah kenal dan masak dengan gaya permainan De Jong.
Kerana sebelum ini mereka pernah bekerjasama di Barca. Dan De Jong bakal menjadi pemain penting Xavi.
Memandangkan ketika Xavi di era masih bermain dia adalah pemain yang menentukan bila pasukan perlu memperlahankan permainan dan bila pasukan perlu menukar gear.
Itu yang akan dilakukan De Jong.
🚨🇳🇱 𝗙𝗥𝗘𝗡𝗞𝗜𝗘 𝗗𝗘 𝗝𝗢𝗡𝗚: 🗣️ “I’m really excited to work with Xavi Hernández again with the Netherlands. We had a very good relationship and great chemistry during our time together at Barcelona, so I’m looking forward to experiencing that partnership at international… pic.twitter.com/KCEg7yNj9E
— FullTime90 (@FullTime90X) August 13, 2026
De Jong boleh diberikan peranan sebagai pemain yang membawa bola keluar daripada tekanan, manakala seorang lagi pemain tengah menjaga struktur dan seorang pemain kreatif bergerak di ruang antara midfield dengan pertahanan lawan.
Jika Xavi berjaya membina ekosistem ini, De Jong tidak lagi kelihatan seperti pemain yang perlu menyelamatkan semua keadaan seorang diri.
Ini akan menjadikan De Jong lebih berpengaruh, dengan syarat pasuakan di sekelilingnya stabil.
3. Pemain kreatif akan diberi lebih banyak kebebasan
Xavi biasanya mahu struktur yang kemas, tetapi struktur itu diwujudkan supaya pemain kreatif boleh membuat keputusan di zon berbahaya.
Nama seperti Xavi Simons, Cody Gakpo dan pemain sayap Belanda lain dijangka mendapat peranan yang lebih jelas untuk menerima bola di half-space, memotong masuk ke dalam dan mencipta kelebihan angka.
The name that inspired mine.
Welcome to the Netherlands, coach Xavi Hernández 🇳🇱🧡 pic.twitter.com/wc1SwqXTvQ
— Xavi Simons (@xavisimons) August 12, 2026
Masalah Belanda sebelum ini bukan ketiadaan bakat. Masalahnya ialah bakat tersebut kadang-kadang bermain terlalu jauh daripada kawasan yang boleh mencederakan lawan.
Jadi akan lebih banyak kombinasi segi tiga, pertukaran posisi dan situasi satu lawan satu di kawasan akhir.
4. Full-back akan menjadi senjata utama, bukan sekadar pelindung pertahanan
Dalam struktur Xavi, full-back boleh memainkan dua fungsi. Mereka boleh melebar untuk membuka padang, atau masuk ke tengah bagi membantu midfield ketika pasukan menguasai bola.
Untuk Belanda, ini penting kerana mereka mempunyai pemain yang agresif di bahagian sisi seperti Denzel Dumfries.
Namun, agresif tanpa struktur boleh meninggalkan ruang besar di belakang. Dan menjadi false fullback seperti mana yang digemari Pep Guardiola. Pengurus yang menjadi rujukan Xavi.
Xavi perlu menentukan dengan jelas siapa yang naik, siapa yang kekal dan siapa yang menjadi pemain perlindungan ketika serangan gagal.
Kita boleh jangkakan bahawa full-back lebih terlibat dalam pembinaan serangan, tetapi rest-defence akan menjadi ujian besar kepada Xavi.
5. Belanda akan melakukan ‘counter-pressing’ dengan lebih tersusun
Penguasaan bola Xavi tidak boleh dipisahkan daripada reaksi selepas kehilangan bola.
Ini antara identiti penting Belanda yang menjadi pusat kelahiran total football. Bermain dengan high pressing, bola sepak berani dan fluid.
Jika Belanda kehilangan bola dan terus berundur, mereka akan kembali kepada masalah lama: pasukan terpisah, midfield lambat menutup ruang dan pertahanan terdedah kepada serangan balas.
Xavi dijangka mahu pemain terdekat segera menekan pembawa bola, sementara pemain lain menutup laluan hantaran pertama. Ini bukan bermaksud semua pemain perlu mengejar bola secara membuta tuli.
Ia memerlukan jarak antara unit yang rapat dan koordinasi yang tepat.
6. Xavi perlu belajar menjadi lebih pragmatik di pentas antarabangsa
Inilah perkara paling besar yang kita mahu lihat. Bola sepak kelab memberi masa untuk membina corak permainan setiap minggu. Bola sepak antarabangsa tidak begitu.
Xavi mungkin hanya mempunyai beberapa sesi latihan sebelum perlawanan penting.
Jadi, beliau tidak boleh terlalu idealistik. Ada masa Belanda perlu mengawal permainan dengan bola. Ada masa mereka perlu bertahan lebih rendah.
Ada masa mereka perlu bermain secara terus kepada penyerang, memanfaatkan bola kedua dan situasi set-piece.
Kalau Xavi hanya memaksa satu cara bermain, lawan akan membaca mereka.
Kalau beliau berjaya menggabungkan identiti possession dengan fleksibiliti taktikal, Belanda boleh menjadi pasukan yang lebih matang dan sukar dijangka.
Kesimpulan
Pelantikan Xavi ialah pertaruhan terhadap identiti dan kawalan permainan.
Belanda sudah mempunyai bakat, fizikal dan tradisi bola sepak yang kuat.
Yang mereka perlukan ialah satu struktur yang membuatkan semua elemen itu bergerak ke arah yang sama.
Xavi boleh membawa semula rasa bahawa Belanda bermain untuk menang dengan cara mereka sendiri. Namun, kejayaan beliau tidak akan diukur melalui jumlah hantaran atau penguasaan bola semata-mata.
Penanda arasnya adalah sama ada Belanda boleh mengawal perlawanan besar, mencipta peluang yang konsisten dan kekal tenang apabila permainan tidak berjalan mengikut skrip.
Pendek kata, Xavi boleh memberi Belanda bola sepak yang lebih cantik.
Tetapi beliau mesti membuktikan bahawa bola sepak cantik itu juga cukup keras, cukup fleksibel dan cukup efektif untuk memenangi kejohanan.