Portal hiburan XTRA kembali dengan musim terbaharu kempen pencarian bakat digital paling hangat, XTRA XSTAR 2025 yang bertujuan mencari serta mengetengahkan wajah-wajah baharu dalam industri muzik tanah air melalui platform media sosial.

Inisiatif ini diperkenalkan bagi meneruskan kejayaan musim pertama tahun lalu yang telah melahirkan Zahra sebagai juara sulung. Sebagai hadiah kemenangan, bintang muda berusia 19 tahun itu kini bergelar artis rakaman Alternate Records & Talents.

Kini, kemenangan Zahra membuka jalan ke dunia muzik profesional dengan pelancaran single debut berjudul Janjiku Padamu hasil ciptaan Amsyar Sabri dan Emeer Bakri. Lagu ini bukan sahaja memperlihatkan sisi vokal Zahra yang penuh jiwa, malah kini boleh didengar di semua platform digital.

Untuk tahun 2025, program ini sekali lagi membuka peluang luas kepada bakat nyanyian baharu di Malaysia untuk menonjolkan kebolehan nyanyian mereka tanpa batasan lokasi.

XTRA Kembali Dengan XTRA XSTAR 2025, Buka Pentas Digital Untuk Bakat Nyanyian Baharu

Dengan kemajuan pesat teknologi dan pengaruh media sosial, XTRA XSTAR 2025 menyediakan ruang unik bagi individu berbakat untuk dikenali ramai hanya dengan memuat naik video nyanyian mereka.

Menurut Pengurus Kempen XTRA XSTAR 2025 merangkap Ketua Pengarang XTRA, Muhammad Kamaruddin Mohd Razal, pihaknya yakin musim baharu ini bakal mencetuskan impak lebih besar berbanding sebelumnya.

“Musim pertama XTRA XSTAR membuktikan bahawa bakat boleh lahir daripada ruang digital semata-mata. Zahra yang pada awalnya menjadi rezeki dengan busking menghantar video nyanyian untuk menyertai XTRA XSTAR tahun lalu.

“Bergelar juara, Zahra kini melangkah ke industri profesional dengan single debutnya, Janjiku Padamu. Melihat kejayaan itu, kami percaya musim kedua ini mampu melahirkan lebih ramai bintang baharu.

“Melalui XTRA XSTAR 2025, kami membuka peluang kepada semua individu yang mempunyai minat dan kebolehan untuk tampil menunjukkan kreativiti serta personaliti mereka. Platform digital seperti TikTok bukan sahaja memudahkan penyertaan, malah memberi ruang luas untuk peserta mengetengahkan gaya persembahan unik mereka,” katanya.

Menurut Kamaruddin, penyertaan XTRA XSTAR 2025 dibuka kepada semua warganegara Malaysia tanpa mengira usia dan bangsa, bermula sekarang hingga 15 September 2025.

“Seramai 20 peserta bertuah akan dipilih oleh panel juri profesional untuk mara ke pusingan Top 20. Peserta kemudiannya akan melalui undian peminat di portal XTRA dan hanya lima terbaik akan dipilih untuk ke pentas akhir.

“Di peringkat akhir, lima peserta terbaik akan berentap secara langsung di Studio Balai Berita Bangsar, Media Prima Berhad, dengan persembahan turut disiarkan secara langsung di TikTok rasmi XTRA. Juara akan menerima kontrak rakaman dan pengurusan eksklusif bersama Alternate Records & Talents, selain liputan meluas di pelbagai platform Media Prima.

“Peserta akan dinilai berdasarkan kreativiti, kualiti vokal dan keunikan persembahan mereka oleh barisan juri yang terdiri daripada artis berbakat seperti Marsha Milan, Puteri Khareeza dan Bob Yusof,” katanya.

Cara Menyertai XTRA XSTAR 2025

1. Rakam video nyanyian anda di TikTok.

2. Pastikan akaun ditetapkan kepada umum.

3. Gunakan hashtag #XTRAXSTAR2025 dan tag akaun rasmi @xtra_my.

4. Pastikan anda tidak berada di bawah kontrak mana-mana syarikat rakaman atau pengurusan.

Sebanyak 20 peserta akan dipilih ke pusingan seterusnya sebelum peminat menentukan Top 5 melalui undian.

Selain gelaran juara dan kontrak rakaman, pemenang XTRA XSTAR 2025 juga bakal menikmati liputan media meluas termasuk sesi wawancara eksklusif dan peluang muncul di rancangan hiburan popular.

Untuk maklumat lanjut mengenai XTRA XSTAR 2025, layari laman web rasmi di www.xtra.com.my/xtraxstar2025 atau ikuti XTRA di TikTok, Instagram, Facebook, X.com dan Threads menerusi @xtra_my.