Selepas digantung seumur hidup dari saingan bola sepak Malaysia, bekas pemain pertahanan Selangor iaitu Yazan Al-Arab kini menemui sinar baharu apabila beliau sah menyertai kelab yang beraksi dalam saingan Liga Iraq iaitu Al-Shorta.

Perkara ini diumumkan oleh Al-Shorta di laman media sosial rasmi kelab baru-baru ini dimana Yazan bakal membawa cabaran kelab itu yang ketika ini menduduki tangag ketiga dalam Liga Iraq.

Baca Juga:

Yazan menjadi perbincangan peminat bola sepak tanah air selepas beliau digantung seumur hidup daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak termasuk aktiviti-aktiviti pentadbiran, pengurusan dan kesukanan bola sepak serta aktiviti yang bersampingan dengannya di Malaysia.

Hukuman ini dikenakan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas Yazan Al-Arab didapati telah melanggar Artikel 51, perenggan 1(a) dan Artikel 59 Kod Tatatertib FAM kerana telah meluru ke arah Pengadil Perlawanan sambil mengeluarkan kata-kata kepada Pengadil Perlawanan dan apabila Pengadil Perlawanan memusingkan badan untuk pergi, pemain ini telah menarik bahu dan seterusnya menolak dengan daya yang berlebihan di bahagian dada Pengadil Perlawanan (Pertuduhan 1).

Dan apabila setelah dilayangkan kad merah, pemain ini secara agresif telah menyerang dengan menyepak ke bahagian punggung kiri dan telah meludah ke arah Pengadil Perlawanan (Pertuduhan 2) semasa perlawanan Suku Akhir 2 Piala Malaysia 2023, Selangor FC lwn Terengganu FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 24 September 2023.

Meskipun boleh mengemukakan rayuan, pihak pengurusan enggan berbuat demikian dimana pemain itu dan Selangor telah mencapai kata sepakat untuk menamatkan kontrak lebih awal sekaligus pemain Jordan itu serta-merta meninggalkan skuad Gergasi Merah.

“Merujuk kepada insiden yang berlaku selepas perlawanan Suku Akhir Piala Malaysia 2023 antara Selangor FC dan Terengganu FC pada 24.09.2023 yang melibatkan pengadil perlawanan dan Yazan Al-Arab, kelab telah menjalankan satu Prosiding Tatatertib berkaitan dengan insiden tersebut.

“Berikutan Prosiding Tatatertib tersebut, Kelab telah memutuskan untuk menamatkan kontrak Yazan melalui penamatan kontrak bersama secara serta-merta.”

“Kami di Selangor mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yazan di atas khidmat dan bakti beliau buat Red Giants sepanjang dua musim bersama dengan kelab,” dipetik dari kenyataan yang dikeluarkan.

Selain itu, lima pegawai pasukan Selangor turut digantung 10 perlawanan serta didenda RM10,000 (boleh membuat rayuan) atas tindakan provokasi ke atas barisan pengadil ketika aksi suku akhir kedua Piala Malaysia 2023 bertemu Terengganu di Stadium MBPJ.