Hidangan ikonik Malaysia, Nasi Lemak sekali lagi meraih perhatian di peringkat antarabangsa apabila sebuah saluran YouTube masakan terkenal dari India, Dad’s Cooking Show, memilih untuk menyediakan menu tersebut dalam video terbaharu mereka.
Apa yang mencuri tumpuan adalah ketelitian pencipta kandungan tersebut yang memasak dari lakaran awal menggunakan kaedah tradisional kampung di atas dapur kayu api.
Bukan sekadar menanak nasi dengan santan, YouTuber tersebut turut menyediakan sambal tumis buatan sendiri dengan mengisar cili menggunakan batu giling, lengkap bersama ikan bilis goreng, kacang tanah, telur, dan timun.
Netizen Malaysia ‘Lulus’ Masakan YouTuber Itu
Malah, hidangan itu kelihatan lebih menyelerakan apabila digandingkan dengan lauk sampingan ‘wajib’ orang Malaysia; ayam goreng.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen Malaysia meluahkan rasa kagum dan bangga melihat hidangan kebangsaan itu dihargai
Malah, ada yang berseloroh memuji hidangan YouTuber India tersebut kelihatan jauh lebih lengkap dan ‘mewah’ berbanding nasi lemak yang biasa mereka beli di gerai tempatan.
“Nasi lemak mereka lengkap berbanding nasi lemak yang jual dekt Malaysia — ada yg telur hilang, ada yang bagi kacang saja, ikan bilis pun tak namapk seekor. Itu belum lagi yang masak nasi santan kedekut rasa nasi macam nasi putih saja.
“Bahan-bahan terbaik. Saya sebagai orang Malaysia mengiktiraf nasi lemak ini.
“Kagum, mereka buat lengkap. Peniaga-peniaga kita mohon lengkap bahan-bahan ini kalau nak meniaga.
“Nampak sedap! Tahniah mereka berjaya buat.
“Padu nasi lemak ini. Tengok warna nasi pun dah tahu mesti pakai santan asli,” komen netizen.
Keikhlasan mereka dalam mengekalkan resipi asli Malaysia tanpa mengubah identiti asalnya mendapat pujian melambung tinggi daripada warga maya.