Sebagai orang yang sangat kritikal dalam isu kemiskinan dan pengalaman menyertai kempen Seorang Sekampit Beras saban tahun, saya fikir ada baiknya saudara berhenti mencela institusi zakat. Ada beza mencela dan kritikan secara konstruktif.
Pengalaman di lapangan menyaksikan tim beras kami menemui pelbagai kemiskinan rencam dalam masyarakat.
Lantas kami buat keputusan bahawa tim beras kami mesti turun bersama pegawai dari pusat zakat untuk pengesahan bantuan dan maklumat.
Natijahnya luar biasa, kami mempunyai link yang baik dengan pasukan zakat yang sanggup turun pada bila-bila masa diperlukan.
Ada suatu ketika, ramai yang mahu membayar zakat dan fidyah menerusi tim beras kami. Sehinggalah saya mendapat nasihat daripada pakar rujuk fiqh kami bahawa lebih afdhal pembayaran dibuat kepada institusi zakat apatah lagi syarat 3 asnaf yang mesti dipayungi.
Untuk tahun itu sahaja, kami menekuni kitab berkaitan zakat dan bab zakat di dalam kitab Matlaul Badrayn. Tetapi kami tetap vokal menyampaikan kritikan dalam isu kemiskinan.
Tahun berikutnya, saya terlibat secara langsung dalam mengendalikan kes-kes yang melibatkan permohonan keluar Islam. Dalam salah satu perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah adalah mengarahkan Lembaga Zakat menanggung kos sara diri pemohon-pemohon yang perlu mengikuti proses istitabah. Bermakna Lembaga Zakat tidak terkecuali daripada tanggungjawab ini.
Kritikalnya kami dalam memastikan zakat ummat ini terus sampai dan tidak disalahgunakan menyaksikan advokasi kami untuk zakat diberikan kepada asnaf at riqab. Maka terlindunglah keaiban gadis-gadis yang hamil luar nikah dan bayi-bayi yang tidak berdosa di rumah Bayt Al-Rahmah.
Kami tekuni lagi isu kemiskinan dan kebuluran mahasiswa dengan set up Dapur Helwa bagi memenuhi keperluan adik-adik yang miskin dan masih belajar dibawah kategori asnaf fi sabillillah. Jangankan zakat, sedeqah ummat memang luar biasa!
The Kitchen adalah projek terbaru kami untuk pelarian Syria dan pelarian yang memerlukan bantuan. Nantikan ya!
Kritikan kami tidak pernah berakhir. Advokasi isu zakat dalam masyarakat masih rendah. Masih ramai menyangka zakat hanya tanggungjawab orang kaya, sedang zakat itu punya syarat dan kewajipan mengikut syarat, rukun dan tempoh tertentu.
Maka ketika itu saya menerima pelawaan Pusat Pungutan Zakat untuk menjadi sebahagian daripada tim mereka turun bersama masyarakat saban minggu dan bulan.
Tim PPZ ini saudara…. masyaAllah… sebutlah apa sahaja bentuk mekanisme pembayaran zakat, tahulah mereka menguruskannya. Saya melihat komitmen mereka bekerja dan atas dasar itu, saya memberikan komitmen saya bersama PPZ pada setiap bulan.
Tahun ini semua projek yang saya nyatakan di atas sedang berlangsung dengan baik. Malah kami sedang menekuni Fiqh Tamkin (pemberdayaan) sebagai usaha menjadi lebih vokal dan kritikal dalam isu kemiskinan ummat.
Saudara boleh kritik isu kutipan, laporan, audit, pembahagian zakat, borang maklumat yang karut marut, barisan beratur yang panjang, proses kelulusan lambat, birokrasi, pejabat zakat yang mewah, pegawai yang malas dan apa sahaja. Tetapi saudara harus juga ada sikap untuk menyikapi secara konstruktif.
Saudara harus lebih cekap dan efisyen.
Saudara mesti ada ilmu dan engagement.
Saudara mesti ada projek pemberdayaan sebagai track record untuk kritik secara konstruktif.
Saya perlu menasihati saudara, kerana kritikan saudara sudah sampai tahap mencela. Apatah lagi di bulan Ramadhan.
Zakat adalah nadi ummat. Kefakiran dan kemelaratan hidup bukan selesai dengan pembahagian sumbangan zakat sahaja.
Ia memerlukan grand design yang menghimpunkan ehsan dan rahmah, pendidikan dan advokasi, ilmu dan ketelusan.
BACA: Ke Mana Perginya Wang Zakat Negeri Kedah? Ini 7 Penjelasan Daripada Saya