Minggu lalu, atlet Paralimpik negara Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi berjaya merangkul sebutir lagi pingat emas di Sukan Para ASEAN acara 200 meter(m) T36 (celebral palsy) dengan catatan 26.03s. Walaupun sedang pulih daripada demam denggi, semangat juang yang ditunjukkan anak kelahiran Felda Rimba Mas ini sangat menakjubkan.

Sebut sahaja FELDA, pasti ramai yang akan berkata jauhnya Felda dari bandar. Tetapi itulah peranan utama FELDA sebenarnya. Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang wujud sejak 1956 berperanan membantu rakyat Malaysia luar bandar mengusahakan tanah. Ini sudah menjawab persoalan kenapa kebanyakan FELDA terletak sedikit jauh dari kawasan bandar.

Membesar di Felda bukanlah penghalang untuk mengecap impian. Biasa rasanya kita dengar frasa from zero to hero yang boleh membawa maksud bermula dari kosong dan mengecap kejayaan di akhirnya. Setiap individu mampu menjadi zero to hero dengan usaha gigih tidak kira dari mana asal usul mereka.

J.K. Rowling, penulis buku fiksyen popular Harry Potter dikenali di seluruh dunia. Ramai yang tidak tahu sebelum karyanya itu menjadi sebuah novel, 12 syarikat penerbitan menolak untuk mencetak karya pertama J.K Rowling. Beliau hidup serba kemiskinan sebelum kini menjadi salah seorang rakyat Britain paling kaya di dunia dan diangkat juga sebagai salah seorang paling berpengaruh di dunia.

Di Malaysia, kita juga ada ramai individu yang bermula dari zero. Jika sebut nama Ali Hassan Mohd Hassan, pasti ramai yang tidak mengenali individu ini. Tetapi kalau sebut Al-Ikhsan, siapa sahaja yang tidak tahu dengan butik sukan ini. Bermula dengan modal RM50, Ali Hassan mula minat berniaga ketika masih belajar di universiti. Selepas tamat pengajian, pada tahun 1993 perniagaannya bermula di ruang sempit di Holiday Plaza, Johor Bahru dengan menjual barangan sukan. Kini, Al-Ikhsan sudah mempunyai lebih 70 cawangan di seluruh negara.

Begitu juga di Felda, ramai yang boleh dijadikan ikon zero to hero ini. Di bawah adalah beberapa individu yang berasal dari Felda yang kini sedang menempa nama di peringkat kebangsaan dan luar negara di dalam setiap bidang yang mereka ceburi.

MOHAMAD RIDZUAN MOHAMAD PUZI – Felda Rimba Mas(Atlet Larian)

puzi1

Siapa sahaja yang tidak kenal dengan Ridzuan Mohamad Puzi. Penyakit cerebral palsy bukan penghalang beliau untuk menjadi seorang atlet. Kejayaan terbesar yang mengharumkan nama beliau di persada antarabangsa adalah apabila beliau memenangi pingat emas dalam acara 100m T36 di sukan Paralimpik Rio tahun lalu.

Ridzuan Puzi pada awalnya dihantar bapanya untuk menjalani kemahiran asas perabot di Bengkel Batu Murni, Perlis. Namun bakat Ridzuan mula dihidu oleh kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis, Encik Affizam Amdan. Sebelum bergelar atlet, Ridhuan pernah berkerja menjual nasi lemak, burger dan kerja-kerja dapur dengan bayaran RM15 sehari. Encik Affizam adalah orang penting dalam permulaan karier sukan Ridzuan ini.

Ianya bukan jalan mudah untuk Ridzuan. Latihan larian memang ketat. Beliau awalnya perlu berlari enam kilometer setiap hari dan apabila sudah biasa enam kilometer pagi dan enam kilometer petang. Kemudian Ridzuan juga menerima latihan speed trails dan berbasikal untuk meningkatkan lagi stamina dan kekuatan badan. Ridzuan dilatih sama seperti atlet-atlet yang lain namun beliau tidak pernah mengeluh.

Ridzuan membuat kemunculan pertama sebagai atlet profesional dalam Sukan Para ASEAN yang diadakan di Solo, Indonesia pada 2011. Dengan usaha tanpa henti, nampaknya Ridzuan kini sudah berjaya bergelar jaguh dunia dan tiada yang dapat menghalang Ridzuan dari terus mengutip pingat di kejohanan antarabangsa ketika ini.

ROSLAN BIN JAMALUDDIN – Felda Trolak Utara (Bekas Penjaga Gol Hoki Negara)

roslan
Roslan Jamaluddin (Berbaju putih)

Bekas penjaga gol hoki kebangsaan Roslan Bin Jamaluddin merupakan benteng terakhir skuad hoki negara satu masa dahulu. Roslan berasal dari Felda Trolak Utara dan mula aktif dengan sukan sejak di bangku sekolah rendah lagi.

Menariknya, beliau pada awalnya bermain di posisi penjaga gol untuk sukan bola baling. Mungkin rezeki, ketika di tingkatan 3, beliau dipanggil untuk mengambil posisi penjaga gol hoki yang kosong. Menurut Roslan, ianya tidak jadi masalah buat beliau kerana posisinya sama sahaja. Cuma bezanya, bola hoki lebih kecil dan beliau perlu memakai baju khas sebelum mula bermain.

Setelah menunjukkan kehebatan menjaga gawang di peringkat negeri, Roslan dipanggil untuk menyertai skuad hoki remaja kebangsaan dan dari detik itu, beliau berjaya menempatkan diri dalam skuad kebangsaan.

Pengalaman paling tidak dilupakan bagi Roslan adalah bergelar penjaga gol untuk skuad hoki Komanwel dan merupakan kejohanan pertama beliau pada usia 19 tahun. Selepas kejohanan Komanwel, Roslan turut berbakti untuk pasukan negara dalam kejohanan dunia yang lain antaranya Sukan Olimpik (2000), Piala Dunia Hoki (2002 dan 2014) pingat emas Sukan Sea 2001 dan 2013 dan pingat perak di Komanwel 1998.

Beliau kini menabur bakti sebagai ketua jurulatih penjaga gol wanita kebangsaan.

Hajah Nor Azrah Binti Ayub – Felda Sungai Sayong (Johan Qariah Antarabangsa)

azrah ayub
Nur Azrah Ayub (Kanan) bersama johan Qari Wan Ainuddin Hilmi Abdullah

Puan Nor Azrah mula didedahkan dengan ilmu tilawah seawal di bangku sekolah rendah lagi. Ibu Puan Azrah dahulu juga berpengalaman sebagai peserta tilawah Al-Quran untuk mukim Pontian, Johor.

Ketika melanjutkan pengajian di Universiti, Puan Azrah mula berjinak-jinak menyertai tilawah bahagian dewasa dengan mewakili Kampung (F) Sg Sayong hingga ke peringkat Daerah Kota Tinggi. Namun pencapaian terbaik ketika itu adalah menjadi Naib Johan Daerah Kota Tinggi.

Pengalaman pertama di peringkat dewasa setelah peningkatan bacaan mula terserlah apabila berjaya menjadi Johan Qariah Peringkat Negeri Johor anjuran Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor pada tahun 2000. Seterusnya berjaya menjadi Johan Peringkat Negeri Johor ke peringkat kebangsaan pada tahun 2004. Bagi Puan Azrah, tiada cabaran hidup yang terlalu getir perlu dihadapinya cuma bagi memantapkan lagi bacaan, beliau sanggup berguru dengan ramai guru-guru pembimbing walau perlu ke negeri lain untuk belajar.

Ketika berjaya menyertai peringkat kebangsaan, Puan Azrah mendapat pendedahan lebih lanjut tentang teknik-teknik perujian tilawah kebangsaan melalui kursus-kursus anjuran JAKIM yang melibatkan guru-guru pembimbing yang terkenal antaranya hakim tilawah peringkat kebangsaan dan antarabangsa iaitu antaranya Tan Sri Hassan Azhari, Tan Sri Dato’ Sheikh Ismail bin Mohamad al-Hafiz, Datuk Salahuddin Omar al-hafiz, Dato’ Muhammad bin Hasri.

Puan Azrah turut berguru ke Kelantan bersama Tuan Guru Datuk Paduka Haji Nik Jaafar bin Nik Ismail dan ustaz Che Yahya Che Daud (Mantan Qari Antarabangsa berasal dari Kelantan) serta Ustazah hajah Fasihah Hashim (mantan Qariah Antarabangsa berasal dari Selangor)ketika menuntut Sijil Tinggi Tarannum Al-Quran pada tahun 2011.

Disamping menjuarai pertandingan tilawah di dalam negara, pencapaian tertinggi Puan Azrah adalah bergelar Johan Qariah Antarabangsa Ke-58 yang berlangsung di PWTC tahun lalu dan johan Tilawah ASEAN di Bangkok mewakili Malaysia awal tahun ini.

ASMAWI ANI – Felda Taib Andak (Penyanyi)

Bagi yang mengikuti program Akademi Fantasia,siapa tidak kenal dengan Mawi. Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani berasal dari Felda Taib Andak dan merupakan juara Akademi Fantasia bagi musim ketiga pada tahun 2005. Dalam masa tiga bulan sepanjang pertandingan ini berlangsung, beliau terus menjadi seorang ikon setanding penyanyi terkenal tanah air yang sudah lama bertapak dalam industri muzik.

Mawi kini turut mempunyai perniagaan tudung dan juga produk kecantikan, Unequein yang diusahakan bersama isterinya. Mawi masih aktif dalam bidang seni. Lagu-lagunya juga kini lebih moden yang banyak mengandungi mesej positif dan nasihat. Contohnya seperti lagu Kalah Dalam Menang, duet beliau bersama Syamsul Yusof ini. Bagi peminat muzik tanah air, mereka pasti tidak dapat melupakan ‘aura’ yang pernah dicetuskan Mawi satu ketika dahulu.

DR. AUNI YAHYA – Felda Kemahang 1 (Doktor)

Auni
Dr. Auni (Kiri) bersama rakan doktor yang lain

Auni Yahya berasal Felda Kemahang 1, Tanah Merah, Kelantan kini berkhidmat sebagai doktor perubatan bahagian kecemasan di North Devon Hospital, England. Beliau adalah salah seorang penerima biasiswa FELDA pada tahun 2006 bersama 50 orang anak FELDA yang lain.

Sejak di bangku sekolah lagi, Dr. Auni sudah ingin menjadi seorang doktor. Menurut Dr. Auni, berkat doa ibu bapa dan keluarga, beliau berjaya mencapai cita-citanya. Anak bongsu daripada 6 adik beradik ini pernah menjadi ketua pelajar untuk Sekolah Sains Machang, Kelantan pada tahun 2005.

Beliau kemudiannya menyambung pengajian di Kolej Mara Banting, Selangor. Menurut Dr. Auni, cabarannya bermula di sini. Sepanjang zaman persekolahan, ianya tidaklah sebesar seperti di Kolej Mara Banting. Di sini, ianya persekitaran yang serba baru untuk beliau dan kebanyakan rakan-rakan sekelas pula adalah dari kalangan keluarga yang bercakap bahasa Inggeris di rumah. Doktor Auni tidak menjadikan bahasa Inggeris sebagai penghalang dan cuba menjadi sebaik rakan-rakannya yang lain.

Dr. Auni kemudiannya terbang ke Universiti of Leeds untuk pengajian kursus perubatan. Di sini, cabarannya adalah untuk mempelajari budaya bekerja dan melayan pesakit di sana. Di United Kingdom, communication skill sangat penting dan jika anda pandai bercakap, anda akan lebih dihargai. Jadi itulah cabaran yang perlu dihadapi Dr. Auni di awalnya kerjayanya sebelum kini bergelar doktor di North Devon Hospital.

Dr. Auni merancang untuk bekerja di England sekitar 5 hingga 7 tahun dahulu sebelum beliau pulang berkhidmat di tanah air tercinta. Berkhidmat untuk negara sentiasa tersemat di lubuk hatinya dan beliau mahu pulang sebagai doktor yang terbaik, membawa kepakaran dari luar negara untuk kepentingan anak bangsa.

Insan-insan di atas ini sudah berjaya menempa kejayaan di peringkat dalam dan luar negara. Tetapi tidak dilupakan individu yang sedang mencipta kejayaan di peringkat tempatan. Individu yang seterusnya ini kini menjadi rujukan kepada belia-belia Felda dalam bidang ternakan dan pertanian.

MOHD NORODZAIMI AFFENDY – Felda Lepar Utara (Projek Ternakan)

emy kereta

Saudara Norodzaimi Affendy merupakan indivdu yang serba boleh. Pemuda dari Felda Lepar Utara ini bermula dengan menjadi transporter buah kelapa sawit untuk Felda. Selepas habis sekolah menengah, bapa beliau memberi modal RM5,000 dan 4 buah lori untuk kegunaan Zaimi mengusahakan tanaman di Felda Lepar.

Sedikit demi sedikit, dengan upah transporter buah kelapa sawit ini, beliau berjaya menambah bilangan lori miliknya dari 4 buah kepada 30 buah. Pada tahun 2013, beliau mula pula berkecimpung dengan projek ternakan lembu. Bermula dengan seekor, kini beliau sudah memiliki lebih 100 ekor lembu dalam jagaan beliau.

Untuk berjaya bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Menurut Zaimi, kekangan beliau pada awalnya semestinya modal dan mencari pekerja yang terlatih serta boleh dipercayai. Zaimi bercerita, di ketika mahu mengembangkan bisnesnya, beliau terpaksa menjual kereta kesayangan untuk mendapatkan dana tambahan. “Saya jual kereta ini untuk dapatkan modal untuk beli lori baharu. Maklumlah, kerja macam saya ini tak ada gaji tetap. Nak buat pinjaman bank pun, memang tak lepas. Jadi terpaksalah kita berkorban terlebih dahulu. Tapi Alhamdulilah. Segalanya berjalan seperti yang dirancang sekarang ini,” kata Zaimi.

Zaimi mula menambah bilangan lori selepas mendapat kepercayaan pihak Felda untuk mengangkut buah kelapa sawit beberapa ladang lain di sekitar Lepar Utara. Atas saranan rakan, beliau memulakan pula bisnes ternakan lembu dengan modal yang ada. “Bisnes lembu ini bagus sebab permintaan untuk daging lembu sentiasa ada. Mungkin ambil masa sedikit untuk tunggu lembu besar tetapi pulangannya memang baik,” tambah Zaimi.

Modal perniagaan Zaimi juga kini sebanyak RM500,000 meningkat 100 kali ganda berbanding modal asal beliau, RM5,000 12 tahun yang lalu. Beliau kini memegang jawatan Ketua Belia FELDA Lepar Utara dan turut disenarai pendek untuk pencalonan Usahawan Jaya 2017. Menurut Zaimi, kerja keras adalah kunci kepada kejayaan beliau.

Ini hanyalah sebahagian individu dari FELDA yang telah mengharumkan nama Malaysia di peringkat dalam dan luar negara. Agak merisaukan melihat generasi muda hari ini. Mereka kebanyakkannya adalah generasi spoon-fed, generasi yang belajar hanya untuk peperiksaan dan tidak mampu untuk berfikir selain apa yang diajar di sekolah.

Mungkin anak muda ketika ini berasa terlalu selesa dengan apa yang ada dan tiada motivasi untuk pergi lebih jauh. Malaysia memerlukan lebih banyak anak muda yang berjaya untuk sama-sama memacu negara ke arah negara maju. Kalau bukan kita siapa lagi?

Kalau mereka ini boleh capai kejayaan, kenapa kita tidak? Apa yang penting, kerja keras dan keinginan untuk berjaya itu mesti kuat. Sama-sama kita jadikan mereka ini inspirasi untuk kita juga berjaya. Ayuh!