Pada Jumaat lalu, satu lagi sejarah misi penerokaan planet Marikh tercipta apabila kenderaan perayau atau rover milik Jabatan Pentadbiran Angkasa China (CSNA), Zhurong rover telah berjaya mengirimkan beberapa keping gambar panorama unik di planet Marikh ke pusat pangkalannya di China, lapor The Verge.
Salah satu kiriman gambar yang berjaya membuatkan kita semua teruja adalah gambar Zhurong yang berswafoto dengan menggunakan sebuah kamera wireless kecil yang ditempatkan oleh rover itu sendiri di sekitar kawasan pendaratan Tianwen-1 di Marikh sebelum ia mengundur kembali ke belakang untuk mengambil gambarnya sendiri.
🚨 AMAZING ROVER SELFIE 🚨
China’s Zhurong rover placed a small wireless camera on the Martian surface that snapped this shot of Zhurong and the Tianwen-1 lander!
This is incredible! pic.twitter.com/ciuDoP12Wu
— Haygen Warren (@haygenwarren) June 11, 2021
Jika difikirkan semula, cara Zhurong berswafoto ini seolah-olah seperti kita mahu mengambil ‘gambar satu keluarga’ menggunakan kamera yang diletakkan pada tripod, sungguh menggamitkan memori, betul bukan?
Jelajah Zhurong di Marikh ini juga berjaya menangkap gambar paparan panorama, latar belakang serta bentuk muka bumi Marikh yang begitu jelas dan sungguh cantik seperti yang dikatakan oleh ketua pereka misi pertama China ke Marikh, Zhang Rongqiao.
“Buat masa ini, Zhurong masih beroperasi dengan baik dan ia telah menjelajah hampir sejauh 80 meter dari kawasan ia mendarat,” kata Zhang memetik laporan Bernama.
Difahamkan, Zhurong rover telah menyertai misi meneroka planet Marikh bersama kenderaan perayau NASA’s Perseverance pada 15 Mei lalu dan ini sekali gus merekodkan bahawa China merupakan negara kedua yang berjaya menjalankan misi penjelajahan rover di planet angkasa.
Misi penerokaan Marikh menggunakan Zhurong rover ini dijangka akan berakhir sekurang-kurangnya dalam tempoh 90 hari bagi mengambil lebih banyak gambar di Marikh yang akan digunakan untuk menganalisis perubahan iklim dan geologi (kajian mengenai ciri-ciri fizikal, proses kimia serta fenomena alam) yang berlaku di planet tersebut.
Syabas kami ucapkan kepada Zhurong rover dan China di atas kejayaan misi penerokaan di planet Marikh dengan menggunakan kenderaan perayau ini.
Baca lagi mengenai misi penerokaan planet Marikh menerusi pautan di bawah ini.
‘Rover’ Bersejarah NASA Di Marikh Dikawal Oleh Saintis Ini Di Rumahnya Sahaja
Selain Makhluk Seperti Labah-Labah, Saintis Dakwa Planet Marikh Turut Dihuni Malaikat
Dengarkan Bunyi Di Planet Marikh Yang Dirakamkan Buat Pertama Kali