Penyanyi popular tanah air, Ziana Zain kini bergelar Datuk selepas menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M.) sempena sambutan Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri Melaka ke-77, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.

Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain menerima penganugerahan tersebut dalam Istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka yang berlangsung di Balai Istiadat Seri Negeri, hari ini.

Beliau merupakan antara 189 individu yang menerima D.P.S.M. dalam istiadat berkenaan, yang turut menyaksikan pengiktirafan kepada tokoh daripada pelbagai latar belakang termasuk perkhidmatan awam, politik, korporat dan seni.

Menariknya, pelantun lagu Madah Berhelah itu sebelum ini pernah berkongsi bahawa beliau tidak pernah mengejar gelaran Datuk.

Bagi Ziana, penganugerahan tersebut dianggap sebagai rezeki dan beliau lebih mengutamakan kesinambungan kariernya sebagai penyanyi serta terus menghiburkan peminat.

Lebih tiga dekad dalam industri muzik, Ziana kekal sebagai antara penyanyi wanita popular negara menerusi lagu seperti Puncak Kasih, Anggapanmu dan Putus Terpaksa.

Penganugerahan ini menjadi satu lagi pengiktirafan terhadap sumbangan Ziana dalam bidang seni suara sepanjang perjalanan kariernya.

Dalam istiadat sama, seramai 1,328 penerima menerima pelbagai darjah, tauliah, bintang dan pingat kebesaran negeri Melaka.