Mahkamah Sesyen hari ini melepaskan dan membebaskan balu Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, daripada tiga pertuduhan bersubahat menerima suapan berjumlah RM2.8 juta, petik Buletin TV3.
Keputusan tersebut diputuskan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Rosli Ahmad, selepas mahkamah selesai mendengar dan meneliti hujahan akhir yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan serta pembelaan.
Terdahulu, pelakon berusia 47 tahun itu dilihat hadir ke kompleks mahkamah seawal jam 8.30 pagi bagi mengikuti prosiding akhir kes pembelaannya sebelum keputusan penuh dibacakan.
Berdasarkan pertuduhan kes, Zizie Izette didakwa bersubahat dengan suaminya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, bagi mendapatkan suapan daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan pada tahun 2015 ketika Allahyarham Bung Moktar menyandang jawatan sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA Berhad.