Selebriti popular, Zul Yahya dilaporkan kini sedang melalui fasa sukar apabila perniagaan makanan yang diusahakannya dikatakan berdepan masalah kewangan sehingga menjejaskan operasi harian serta keperluan keluarga.
Perkara itu mula mendapat perhatian selepas tular satu perkongsian di Threads yang mendakwa situasi semasa Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Yahya, sedang bergelut untuk mengekalkan kelangsungan perniagaannya di Ipoh, Perak.
Menerusi satu siaran langsung yang turut tersebar di media sosial, Zul dilihat tidak dapat menyembunyikan rasa syukur terhadap bantuan yang telah diterima daripada orang ramai yang prihatin terhadap keadaannya.
Dalam masa yang sama, beliau turut mengakui memerlukan bantuan kewangan segera bagi menampung tekanan yang sedang dihadapi.
Dia akui masih memerlukan kira kira RM15,000 dalam masa terdekat untuk menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapinya ketika ini.
Zul berkata: “Saya berterima kasih kepada anda semua yang transfer. Terima kasih. Subhanallah, saya doakan semoga Allah permudahkan urusan kehidupan kalian dunia akhirat dan dikurniakan kesihatan baik.”
“Saya perlukan RM15,000 dalam masa terdekat, pening kepala. Tak tahulah kalau kalian berada di tempat saya ini,” katanya seperti dilaporkan Beautifulnara.
Perkongsian mengenai keadaan beliau itu kemudiannya mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, dengan ramai yang mendoakan agar urusan Zul sekeluarga dipermudahkan serta perniagaannya kembali stabil seperti sedia kala.