Piala Dunia 2026 kini kurang daripada seminggu lagi, dengan pasukan-pasukan sedang membuat persiapan terakhir mereka untuk kejohanan di Amerika Utara.
Pentas sudah disediakan untuk ramai pemain menjadi wira negara masing-masing, termasuk beberapa pemain muda paling menarik dalam dunia bola sepak ketika ini.
Pele dan Kylian Mbappe merupakan satu-satunya pemain remaja yang pernah menjaringkan gol dalam perlawanan akhir Piala Dunia, tetapi ramai lagi pemain lain bermula daripada Michael Owen hingga Lionel Messi telah menyerlah di pentas dunia walaupun masih belum mencapai usia 20 tahun.
Berikut merupakan pemain bakat besar yang dijangka menyinar dalam saingan Piala Dunia 2026 nanti:
Bintang Muda Di Piala Dunia 2026
1) Lamine Yamal (Sepanyol) – 18 Tahun
Bukan sekadar dijangka menjadi remaja paling menyerlah di Piala Dunia 2026 nanti, Lamine Yamal berpotensi menjadi pemain paling menonjol di Amerika Utara.
Anak muda ini mempunyai bakat yang cukup tinggi dalam menjadi tonggak kepada skuad Sepanyol dan Barcelona.
Sejak penampilan sulung antarabangsanya yang disusuli dengan gol menakjubkan menentang Georgia ketika berusia 16 tahun, Yamal telah menjadi pilihan tetap dalam skuad kendalian Luis de la Fuente.
2) Pau Cubarsi (Sepanyol) – 19 Tahun
Yamal bukanlah satu-satunya remaja dalam kesebelasan Sepanyol. Pau Cubarsi telah memulakan empat daripada enam perlawanan kelayakan Piala Dunia Sepanyol pada hujung 2025.
Keadaan itu dilihat semakin mengukuhkan tempat dalam perancangan Luis de la Fuente, selepas sedikit mengejutkan apabila tidak disenaraikan dalam skuad Euro yang berjaya memenangi kejohanan tersebut.
Cubarsi telah menjadi tonggak utama dalam pasukan Barcelona kendalian Hansi Flick selama lebih dua tahun, dengan ketenangannya ketika mengawal bola serta kebolehan hantaran yang sangat baik seiring dengan naluri pertahanan pada tahap tinggi.
3) Kendry Paez (Ecuador) – 19 Tahun
Pemain tengah Ecuador, Kendry Paez, merupakan antara remaja paling berpengalaman dari segi jumlah penampilan antarabangsa yang dipanggil ke Piala Dunia.
Ketika ini bermain secara pinjaman di River Plate, pemain muda milik Chelsea itu telah lama dianggap sebagai bakat besar sejak 2023, apabila beliau membuat debut antarabangsa pada usia 16 tahun.
4) Ibrahim Mbaye (Senegal) – 18 tahun
Ibrahim Mbaye menghabiskan zaman kanak-kanaknya mewakili Perancis di setiap peringkat sehingga bawah 20 tahun, sebelum menerima panggilan untuk menyertai Senegal pada November.
Ibrahim menjaringkan gol dalam penampilan keduanya bersama Lions of Teranga, sekali gus menjadi penjaring termuda sepanjang sejarah negara Afrika Barat tersebut.
Beliau kemudian memainkan peranan penting dalam kemaraan pasukan itu ke perlawanan akhir Piala Negara-Negara Afrika (AFCON), apabila menjaringkan satu gol dan melakukan dua bantuan gol.
5) Ayyoub Bouaddi (Maghribi) – 18 Tahun

Seorang lagi pemain remaja yang akan mewakili sebuah negara Afrika pada musim panas ini, walaupun pernah beraksi bersama pasukan umur Perancis, ialah Ayyoub Bouaddi. Beliau telah menukar kesetiaan antarabangsa kepada Maghribi menjelang kejohanan ini.
Bouaddi memiliki 10 penampilan bersama Perancis bawah 21 tahun, namun pemain tengah Lille itu terus dimasukkan ke dalam skuad Singa Atlas ketika mereka berusaha mengulangi pencapaian mara ke separuh akhir pada 2022.
Sudah tentu, Bouaddi akan menambah banyak kualiti kepada barisan Maghribi selepas menarik perhatian dalam Ligue 1 dan, khususnya, dalam Liga Juara-Juara sepanjang dua musim kebelakangan ini.
6) Gilberto Mora (Mexico) – 17 Tahun
Sebagai tuan rumah bersama Piala Dunia 2026, Mexico sememangnya berdepan tekanan tinggi di Piala Dunia ini, lebih-lebih lagi selepas kegagalan mereka melepasi peringkat kumpulan pada 2022.
Justeru, pasukan Mexico kini sedang mencari wira baharu untuk muncul, dan harapan besar telah diletakkan di bahu Gilberto Mora walaupun beliau merupakan pemain termuda dalam keseluruhan kejohanan.
Pemain berusia 17 tahun yang digelar “Pedri Mexico” itu telah diturunkan dalam kesebelasan utama untuk peringkat kalah mati Piala Emas 2025, dan akhirnya memainkan peranan penting ketika pasukan kendalian Javier Aguirre menjulang trofi tersebut.
Kemenangan itu menjadikan Mora pemain termuda yang memenangi kejohanan antarabangsa utama, sekali gus memecahkan rekod yang sebelum ini dipegang oleh Lamine Yamal setahun sebelumnya.
7) Luka Vuskovic (Croatia) – 19 Tahun

Luka Vuskovic merupakan antara yang paling menarik perhatian dalam Piala Dunia 2026 selepas musim yang menyaksikan beliau mula dikenali sebagai salah satu bek tengah muda paling berpotensi di Eropah.
Pemain pinjaman Tottenham itu menyerlah ketika bersama Hamburg, apabila beliau berjaya disenaraikan dalam Pasukan Terbaik Bundesliga musim ini serta menarik minat FC Barcelona terhadap khidmatnya.
8) Kerim Alajbegovic (Bosnia & Herzegovina) – 18 Tahun
Pemain sayap itu telah masuk dari bangku simpanan untuk terlebih dahulu membantu gol penyamaan Dzeko dalam separuh akhir play-off menentang Wales pada Mac, sebelum beliau menyempurnakan sepakan penalti kemenangan dalam penentuan sepakan penalti untuk membawa negaranya ke perlawanan akhir menentang Itali.
Alajbegovic sekali lagi mencuri perhatian ketika menentang Azzurri, apabila Bosnia menewaskan mereka sekali lagi menerusi sepakan penalti, dan kini pemain sayap yang tenang itu akan berpeluang beraksi di pentas terbesar dunia untuk menunjukkan keupayaannya.
9) Tyler Fletcher (Scotland) – 19 Tahun
Scotland menerima tamparan apabila pemain tengah utama, Billy Gilmour, mengalami kecederaan lutut ketika perlawanan pemanas badan menentang Haiti yang menyebabkan beliau terlepas daripada senarai skuad Piala Dunia.
Namun begitu, kekecewaan seorang pemain membuka peluang kepada pemain lain, dan Tyler Fletcher pasti mahu merebut peluang mengejut ini sebaik mungkin.
Anak kepada bekas pemain Scotland dan Manchester United, Darren Fletcher, Fletcher Jr telah membuat penampilan sulung bersama Manchester United pada musim ini.
10) Lucas Herrington (Australia) – 18 Tahun
Tidak seperti kebanyakan rakan sepasukan Australia yang lain, Lucas Herrington tidak perlu melakukan perjalanan jauh untuk sampai ke pusat latihan Piala Dunia Socceroos di California, memandangkan beliau bermain bola sepak kelab di MLS bersama Colorado Rapids.
Terdapat juga peluang sepanjang kejohanan ini bahawa pemain berusia 18 tahun itu akan dapat menunjukkan sebab mengapa beliau menerima banyak pujian sejak ketibaannya di Amerika Syarikat pada awal tahun 2026.
11) Hamza Abdelkarim (Mesir) – 18 Tahun
Akhir sekali, satu pilihan “wildcard” sebenar daripada Mesir, yang mengejutkan ramai apabila mereka menyenaraikan Hamza Abdelkarim bagi menghadapi Piala Dunia 2026 yang sebelum ini belum pernah mendapat kaps antarabangsa.
Kaps pertamanya bersama skuad kebangsaan Mesir adalah pada 28 Mei lalu ketika dimasukkan di lewat aksi persahabatan menentang Rusia.
Penyerang itu hanya mempunyai sembilan penampilan senior bersama kelab sejak menjadi pemain termuda dalam sejarah Al-Ahly pada Februari 2025, dan sebelum ini hanya pernah mewakili pasukan bawah 17 tahun negaranya.
Nama pemain yang sebelum ini pernah berkelana di Kuala Lumpur pada usia kanak-kanaknya itu hangat diperkatakan selepas menyertai skuad remaja Barcelona secara pinjaman.