Pemain sayap skuad Harimau Malaya, Akhyar Rashid kembali menjalani latihan bersama pasukannya, Terengganu FC (TFC) hari ini selepas disahkan sudah pulih daripada kecederaan kepala dan kaki.
2 Mei lalu, pemain yang lebih mesra dipanggil Mat Yat itu melalui detik ngeri selepas dipukul dan disamun sehingga menyebabkan dia menerima empat jahitan di kepala dan dua di kaki.
Baca Juga:
- Ini Rahsia Bangsa Cina Simpan Duit Yang Semua Orang Boleh Ikut
- Menyesal Tidak Guna Lebih Awal, Peniaga Ini Kongsi Kelebihan Kad Kredit Untuk Bisnesnya
- Mengapa Pengguna CIMB Tidak Perlu Panik Dengan Servis DuitNow
Beliau dilaporkan mengalami kerugian hampir RM5,000 selepas dipukul dan disamun individu yang tidak dikenalinya dalam kejadian di hadapan sebuah kondominium di Kuala Terengganu.
Bagaimanapun, selepas 12 hari kejadian itu berlaku, peminat masih tertanya-tanya kenapa pihak polis masih belum membuat tangkapan terhadap mana-mana suspek yang terlibat dalam kes pukul dan samun tersebut.
12 hari selepas kes pukul pemain TFC (dipinjam dari JDT) – 0 tangkapan
9 hari selepas kes simbah asid pemain SFC – 2 tangkapan, 0 dakwaan
Kejadian Ahad, hari yang sama Polis Selangor tangkap suspek pertama, Isnin tangkap suspek kedua.
Pindah Bukit Aman fotofit pun belum ada. https://t.co/c0VwS6rryN
— RimauXI 🇲🇾 (@RimauXI) May 13, 2024
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor menerusi laporan Arena Metro berkata terdapat dua suspek atau lebih terlibat dalam kes samun ke atas pemain itu.
Beliau berkata, ia berdasarkan soal siasat yang dijalankan terhadap beberapa saksi termasuk mangsa sendiri.
“Mengikut mangsa, dia melihat sekali imbas sebuah kereta disyaki Honda City warna tak pasti kerana gelap dan nombor pun tak pasti.
“Penyerang dipercayai lebih daripada dua orang kerana mangsa melihat dua suspek keluar dari belakang kenderaan manakala seorang lagi dari depan,” katanya.
Bagaimanapun, sehingga kini belum ada sebarang tangkapan dan pihak polis masih menjalankan siasatan untuk mencari petunjuk baharu.
Peminat setia skuad Penyu juga pastinya ternanti-nanti untuk melihat penampilan pertama Akhyar Rashid pada musim ini selepas terlepas perlawanan pertama Liga Super Sabtu lalu menentang Perak FC.
Pihak pengurusan TFC juga meningkatkan lagi kawalan keselamatan ketika sesi latihan dan perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak bagi mengelak perkara tidak diingini berulang.