Bayer Leverkusen yang dibimbing Xabi Alonso seperti diketahui sudah pun mengesahkan kejuaraan Bundesliga 2023/24 meskipun saingan liga masih berbaki lima perlawanan lagi.
Kemenangan 5-0 ke atas Werder Bremen awal pagi tadi sekali gusĀ menamatkan penantian panjang kelab tersebut serta menamatkan monopoli 11 tahun Bayern Munich.
Baca Juga:
- Akhiri Dominasi Bayern Munich, Bayer Leverkusen Muncul Juara Bundesliga
- Xabi Alonso: Bayer Leverkusen Tempat Yang Tepat Buat Saya
- Ini Barisan Pemain Bayern Munich Yang Digelar Anti-Tuchel
Pujian diberikan kepada Alonso yang nyata telah mengubah secara keseluruhan nasib Bayer Leverkusen hingga mampu menjulang trofi kejuaraan.
Di sebalik taktikal ampuh dipraktikkan Alonso dan usaha berpasukan yang membuahkan hasil, terdapat juga beberapa pemain cukup menonjol sepanjang musim ini.
Tidak keterlaluan untuk mengatakan mereka adalah antara tunjang kepada pasukan pada musim ini hingga menyaksikan mereka masih belum mengalami sebarang kekalahan.
Bagaimanapun, ia bukanlah mahu menidakkan sumbangan barisan pemain Leverkusen yang lain.
Antara pemain yang dimaksudkan ialah:
1) Alejandro Grimaldo
Rekrut pada jendela perpindahan musim panas lalu itu memberikan impak yang cukup hebat dengan peranan sebagai pemain bek sayap kiri.

Dengan taktikal 3-4-2-1 dimainkan oleh Alonso, Grimaldo akan turut membantu jentera serangan dan hasilnya beliau telah meledakkan sembilan gol dan mencipta 13 bantuan jaringan dalam kempen liga.
Daripada 29 perlawanan liga, hanya sekali beliau diturunkan sebagai pemain simpanan iaitu ketika bertemu Werder Bremen.
2) Florian Wirtz
Pemain berusia 20 tahun itu turut merupakan antara pilihan utama Xabi Alonso untuk diturunkan pada setiap perlawanan liga.

Dianggap sebagai seorang pemain yang cukup bijak dalam melakukan gerakan serta hantaran, Wirtz menyumbangkan 11 gol dan mencipta 10 bantuan jaringan dalam kempen liga.
Malah, beliau meledakkan hatrik pada aksi yang penuh bersejarah ketika bertemu Werder Bremen awal pagi tadi.
3) Granit Xhaka
Berhijrah ke Bayer Leverkusen dari Arsenal pada Julai 2023, Xhaka membuktikan kemampuannya dalam mengemudi jentera tengah dengan 3,145 sentuhan bola yang menjadi rekod tertinggi dalam kempen Bundesliga musim ini.

Jeneral tengah berusia 31 tahun itu juga turut berada di mana-mana sahaja dengan melakukan 317.9km larian sepanjang musim ini, juga menjadi rekod tertinggi setakat ini.
4) Jonathan Tah
Tah membentuk persefahaman yang mantap bersama Edmond Tabsoba dan Odilon Kossounou dalam sistem bek bertiga digunakan Alonso.

Berdasarkan statistik, pemain skuad kebangsaan Jerman ini turut melakukan 97% hantaran tepat ke arah rakan sepasukannya.
Daripada 29 perlawanan liga, 26 kali beliau diturunkan di kesebelasan utama dan masih mampu menyumbang empat gol serta satu bantuan jaringan.
5) Jeremie Frimpong
Pemain sayap kiri ini membentuk gandingan mantap serta dinamik bersama Grimaldo. Frimpong menggunakan kelebihan kepantasan larian dimiliki.

Kelebihan tersebut nyata memberikan kesukaran kepada pertahanan lawan untuk membendung kepantasannya hingga beliau mampu menjadi nadi kepada kekuatan Leverkusen.
Frimpong berjaya menghasilkan lapan jaringan dan turut mencipta lapan bantuan gol dalam aksi liga.