Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia tidak menikmati kemunculan semula yang baik selepas tersingkir seawal pusingan pertama Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Adidas Arena, Perancis sebentar tadi.

Beraksi menentang Jeon Hyeok Jin selepas berehat hampir lima bulan ekoran kecederaan dialaminya, Zii Jia dilihat masih belum bersedia untuk menghadirkan kemenangan ke atas pemain ranking ke-38 dunia tersebut terutamanya pada set kedua.

Baca Juga:

Bukan Permulaan Baik Buat Lee Zii Jia

Hyeok Jin yang hanya menang sekali dalam empat pertemuan terakhir menentang Lee Zii Jia sebelum ini pula tampil dengan lebih bertenaga.

Ketinggalan 7-11 pada rehat ‘interval’ set pertama, Zii Jia cuba untuk bangkit ketika kedudukan 10-15 tetapi lawan dari Korea Selatan itu lebih tangkap untuk menang 21-17.

Set kedua jelas memperlihatkan banyak kesilapan mudah dilakukan Zii Jia bagi membolehkan Hyeok Jin memastikan kemenangan menjadi milik beliau dengan kemenangan 21-11.

Nasib berbeza bagaimanapun dinikmati Wan Arif Junaidi-Yap Roy King dalam penampilan sulung mereka di Kejohanan Dunia apabila tidak terlalu berdepan masalah untuk menewaskan wakil Jepun, Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura 21-5, 21-13.

Walaupun tidak menawarkan hadiah wang tunai tetapi kejohanan ini bakal memberikan mata ranking yang tinggi kepada para pemenang.

Sejak Kejohanan Dunia diperkenalkan pada 1977, Malaysia hanya sekali berjaya muncul juara dunia menerusi pasangan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik ketika edisi 2022 di Tokyo, Jepun.