Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menghormati keputusan dibuat Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub yang meletakkan jawatan sebagai presiden badan induk bola sepak negara tersebut.

Menang tanpa bertanding ketika Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM penggal 2025-2029 pada Januari lalu, Joehari bagaimanapun menghantar surat peletakan jawatan baru-baru ini.

Menurut beberapa sumber, beliau memilih untuk meninggalkan FAM atas faktor kesihatan dan kini jawatan tersebut dipangku oleh Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkuat kuasa serta-merta.

FAM & Joehari Berpisah

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan rasa berat hati mengesahkan bahawa Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub telah menghantar surat peletakan jawatan beliau sebagai Presiden FAM, baru-baru ini.”

“Sehubungan itu, Jawatankuasa Eksekutif FAM dipanggil untuk Mesyuarat Khas Kedua Penggal 2025-2029, hari ini yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Haji Mahadi bagi membincangkan hal tersebut.”

“Jawatankuasa Eksekutif FAM dalam mesyuarat berkenaan yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya telah meneliti hasrat Datuk Joehari itu dan akhirnya akur untuk menerima peletakan jawatan Presiden FAM itu bagi menghormati keputusan yang telah dibuat oleh beliau.”

“Jawatankuasa Eksekutif FAM berasa terharu dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Datuk Joehari atas segala sumbangan, jasa, dedikasi dan komitmen beliau sepanjang bersama FAM sejak beliau dipilih sebagai Naib Presiden pada 2017 dan seterusnya Presiden pada 15 Februari 2025.”

“Jawatankuasa Eksekutif FAM juga mendoakan agar Datuk Joehari sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, diberkati dalam segala urusan dan terus dapat menyumbang kepada bola sepak negara.”

“Menurut Artikel 42 Perenggan 7 dalam Statut FAM, jika jawatan Presiden kosong, Timbalan Presiden yang paling lama berkhidmat akan menggantikan sehingga Kongres seterusnya iaitu tahun hadapan.

“Kongres tersebut hendaklah memilih Presiden baharu untuk baki tempoh penggal jawatan.”

“Justeru itu, Jawatankuasa Eksekutif FAM telah bersetuju untuk menamakan Datuk Wira Mohd Yusoff sebagai Pemangku Presiden FAM berkuat kuasa serta-merta, hari ini berdasarkan apa yang termaktub dalam Statut FAM itu.”

Sumber