Ruben Amorim menyalahkan pemain pemainnya selepas disingkirkan pasukan divisyen ke-4, Grimsby Town pada aksi Piala Carabao.
Manchester United ketinggalan 2 gol di Blundell Park sebelum mengikat lawan mereka 2-2 untuk mengheret pertarungan ke penentuan sepakan penalti.
Grimsby menang 12-11 dalam penentuan penalti yang sarat dengan gol. Bryan Mbeumo dan Matheus Cunha, dua pemain yang baru dibeli mahal oleh United gagal dalam satu penalti mereka.
Sementara Andre Onana hanya menyelamatkan 1 penalti lawan. Kekalahan ini adalah yang pertama untuk United kalah di tangan pasukan divisyen keempat sejak 2014.
Walaupun peminat mempersoalkan taktikal Amorim, pengurus itu pula menganggap tiada masalah dengan taktikalnya, namun yang bersalah adalah pemain.
Menurutnya, pemain gagal menunjukkan sikap yang betul dalam perlawanan ini.
Ruben Amorim memberitahu wartawan: “Cara kami memulakan perlawanan, kami seolah olah tidak berada di sini. Apabila segalanya sangat penting untuk kelab, semua yang berlaku, ketika kelab dalam masalah, kami harus lebih baik.
“Saya nak minta maaf kepada penyokong kami. Saya fikir pemain pemain kami bercakap dengan lantang hari ini tentang apa yang mereka mahukan.
“Dan sekarang saya berpendapat, pasukan lebih baik menang, satu satunya pasukan yang berada di atas padang. Dan pemain kami sudah bersuara dengan lantang hari ini.
Amorim yang masih gagal membantu pasukan itu berada di prestasi kemuncak menggesa agar pemain pemainnya melakukan sesuatu.
Dia berkata: “Saya rasa, ada perkara yang kita harus ubah. Pada ketika ini, kami harus fokus untuk aksi hujung minggu. Dan kami masih ada masa untuk memikirkannya.
“Dalam penentuan penalti, saya tidak fikir kami perlu sampai ke penalti untuk mara ke peringkat serterusnya. Saya rasa bola sepak itu adil hari ini. Kemenangan untuk pasukan yang terbaik.
Man United berbelanja lebih £200 juta untuk membeli pemain baharu sejak akhir musim lalu. Namun pasukan mereka masih bergelut untuk memperbaiki prestasi mereka.
Amorim kemudian memberitahu peminat bahawa, dia dan pemain pemainnya masih memerlukan sedikit masa untuk mengubah keadaan.
“Kamu tak boleh ubah semuanya, dalam satu musim panas sahaja. Kamu harus memenangi perlawanan dan menunjukkan prestasi yang baik.
“Ada perkara lebih daripada sekadar keputusan. Ini adalah masalah terbesar pasukan kami, saya rasa ianya jelas hari ini,” tambah Amorim lagi.