Pengurus baharu Manchester United, Ruben Amorim enggan membawa bekas anak didiknya di Sporting CP, Viktor Gyökeres untuk menyertai kelab baharunya pada jendela perpindahan Januari ini.
Amorim membimbing Sporting menewaskan Manchester City dengan keputusan 4-1 dalam aksi saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) baru-baru ini yang mana aksi tersebut merupakan perlawanan terakhir bersama kelab itu sebelum memulakan tugas bersama United.
Baca Juga:
- 19 Kelab EPL Undi Kekalkan Teknologi VAR Musim Depan
- Jose Mourinho Berminat Bimbing Kelab Bawahan EPL
- Ledak 4 Gol Pada Babak Pertama, Cole Palmer Cipta Sejarah EPL
Gyokeres berjaya menjaringkan tiga gol dalam perlawanan tersebut dan perkara ini menimbulkan persoalan sama ada Amorim akan membawa penyerang kelahiran Sweden itu untuk menyertai United pada jendela perpindahan Januari nanti.
Ketika sidang media selepas perlawanan, Amorim memberikan pandangan beliau mengenai situasi Gyokeres.
“Kalau saya mula membuat jenaka mengenai situasi Gyokeres, saya akan berdepan dengan kesukaran selepas ini.
“Ini (Lisbon) bandar saya, negara saya. Jadi saya menghormati perkara itu. Viktor perlu kekal di sini untuk musim ini dan kemudiannya kehidupan beliau akan berubah selepas ini,” katanya.
Rekod cemerlang Gyokeres menjadikan beliau salah satu pilihan untuk memimpin jentera serangan United musim ini selepas Joshua Zirkzee dan Rasmus Højlund gagal untuk tampil secara konsisten.
Hatrik ketika menentang City menjadikan jumlah jaringan Gyokeres untuk musim ini kepada 23 gol dalam 17 perlawanan, dengan jumlah keseluruhannya di Sporting kini berjumlah 63 gol dalam 66 perlawanan.
Ruben Amorim akan memulakan tugas bersama United pada 11 November ini dimana perlawanan pertama beliau menegang Ipswich Town pada 25 November di tempat lawan.
Pengurus berusia 39 tahun itu menggantikan Erik ten Hag yang dipecat selepas permulaan buruk United dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dimana mereka ketika ini menduduki tangga ke-13 dalam carta liga.
Tugas sebagai pengurus pasukan ketika ini diisi oleh bekas penyerang kelab itu iaitu Ruud van Nistelroy.