Legenda Jerman, Toni Kroos tampil mengkritik keras peraturan baharu Bundesliga yang dikenali sebagai ‘handshake dialogue’, dengan menyifatkannya langsung tidak memberi kesan dan mengganggu persiapan pemain sebelum perlawanan.

Peraturan tersebut mewajibkan jurulatih serta kapten kedua-dua pasukan bertemu dengan pengadil 70 minit sebelum sepak mula bagi sesi perbincangan ringkas.

Baca Juga:

Ia bertujuan untuk memupuk rasa hormat, mengurangkan bantahan terhadap pengadil serta mengelakkan insiden pergaduhan ketika perlawanan berlangsung.

Inisiatif yang cuba dilakukan Bundesliga itu nyata mendapat reaksi negatif daripada pengurus pasukan.

Pengurus FC Koln, Lukas Kwasniok menyifatkan ia sebagai tidak masuk akal manakala pengendali Heidenheim, Frank Schmidt pula berpendapat ia hanya menyusahkan rutin pra-perlawanan.

Pendapat sama turut dikongsikan oleh Kroos yang jelas tidak bersetuju dengan cadangan baharu tersebut.

Toni Kroos Tak Setuju

“Saya hampir jatuh dari kerusi bila dengar berita ni. Kwasniok pun sudah kata perkara sama. Banyak lagi isu lebih penting termasuk VAR.”

“Peraturan ini memang niatnya baik, tapi realitinya langsung tiada nilai,” ujar Toni Kroos menurut sumber laporan Goal.

“Bayangkan 70 minit sebelum sepak mula kita berjabat tangan dan cakap pasal hormat-menghormati, padahal emosi sebenar hanya datang bila permainan bermula.”

“Selepas lima minit perlawanan berlangsung, dah ada kad kuning, jadi apa guna bersalaman tadi?”

Namun, tidak semua pihak menolak peraturan ini kerana Pengurus Freiburg, Julian Schuster tampil mempertahankan langkah tersebut dengan menyifatkannya sebagai satu isyarat penghormatan yang wajar dipraktikkan.

Perdebatan mengenai keberkesanan ‘handshake dialogue’ ini dijangka akan terus berlarutan tetapi buat masa ini, semua pemain dan jurulatih dalam saingan Bundesliga tetap diwajibkan untuk mengambil bahagian sebelum setiap perlawanan.

Sumber