Tamat perlawanan Negeri Sembilan Antlers lawan ATM Guardians dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Sepaktakraw League (STL) 2025 sebentar tadi menyaksikan slot empat pasukan untuk ke separuh akhir bagi Grand Prix (GP) Pulau Pinang sudah pun terungkai.
Kemenangan sukar dilakarkan ke atas ATM Guardians itu sekali gus telah meletakkan Negeri Sembilan selaku juara kumpulan A bagi meneruskan kemaraan ke separuh akhir.
Baca Juga:
- STL 2025: Jadual Penuh Perlawanan GP Pulau Pinang

- Senarai Pasukan Jemputan Bakal Beraksi Dalam STL Champions Cup 2025

- STL 2025: Kedudukan Terkini Selepas Berakhirnya 5 Pusingan GP

Juara edisi lalu, Perak Bison terus cemerlang dengan dua kemenangan ke atas Kelantan Warriors dan Johor Tigris untuk bergelar juara kumpulan B.
Pasukan pilihan juara, Melaka Titans yang dibarisi regu berpengalaman juga tampil dengan cukup bertenaga untuk mara ke separuh akhir selaku juara kumpulan C.
Selangor Pistons pula mengenepikan cabaran hebat Penang Black Panthers pada aksi terakhir untuk muncul juara kumpulan D.
Dengan kemaraan empat pasukan ini terutamanya melibatkan Perak Bison, Melaka Titans dan Negeri Sembilan, ia membuatkan perebutan untuk mencari juara keseluruhan semakin mendebarkan untuk disaksikan.
Berdasarkan perkiraan kasar, Perak Bison akan muncul juara keseluruhan sekiranya berjaya melayakkan diri ke pentas final di Kompleks Sukan Balik Pulau itu.
Namun, jika sebaliknya berlaku, peminat perlu menantikan kedudukan akhir sebaik sahaja tamat aksi final pada Ahad nanti.
Senarai Pasukan Yang Mara Ke Separuh Akhir GP Pulau Pinang
1) Negeri Sembilan Antlers
2) Perak Bison
3) Melaka Titans
4) Selangor Pistons