Pearly Tan-M. Thinaah menjadi wakil kedua negara mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Dunia 2025 selepas berjaya menundukkan pasangan adik beradik dari Bulgaria, Stefani Stoeva-Gabriela Stoeva dalam aksi ‘straight set’.
Kejayaan manis dilakarkan itu juga merupakan sejarah baharu buat sektor beregu wanita negara kerana tiada pasangan Malaysia pernah mara ke separuh akhir kejohanan berprestij itu sejak mula dipertandingkan pada 1977.
Sejarah Dicipta Pearly Tan-M.Thinaah
Sejarah baharu itu pastinya bakal meningkatkan moral Pearly dan Thinaah untuk menghadapi Nami Matsuyama-Chiharu Shida dari Jepun pada separuh akhir, esok.
Berdepan lawan yang merupakan pasangan ranking ke-19 dunia, anak buah Rosman Razak itu berdepan sedikit kesukaran pada permulaan set pertama.
Jurang mata begitu rapat dapat disaksikan dimana Pearly-Thinaah hanya memegang kelebihan dua mata pada rehat ‘interval’ dengan kedudukan 11-9.
Rehat tersebut digunakan sebaik mungkin gandingan negara itu untuk tampil dengan lebih baik hingga berjaya memenangi set pertama 21-15.
Tugas lebih mudah pada set kedua apabila gandingan lawan itu kelihatan hilang tumpuan dan keadaan itu memberikan ruang buat Pearly Tan-M. Thinaah untuk tampil garang.
Ia dibuktikan dengan deretan mata diraih selepas rehat ‘interval’ untuk mereka memastikan kemaraan ke separuh akhir dengan kemenangan mudah 21-10.
Kejayaan itu juga melebarkan lagi rekod kemenangan mereka ke atas Stefani Stoeva-Gabriela Stoeva kepada empat kemenangan berbalas satu.