Sejarah terus dilakarkan kem badminton Malaysia selepas dua wakilnya mara ke pentas final Kejohanan Dunia 2025 yang sedang berlangsung di adidas Arena, Perancis.

Kemaraan penuh bergaya itu dicipta oleh Pearly Tan-M. Thinaah dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang mempamerkan aksi cemerlang untuk mengesahkan kemaraan mereka.

Pearly dan Thinaah tidak menghiraukan rekod kemenangan baik dimiliki Nami Matsuyama-Chiharu Shida dari Jepun yang merupakan pasangan ranking ketiga dunia.

Walaupun berdepan kesukaran pada set pertama hingga menyaksikan mereka tewas 14-21, anak buah Rosman Razak itu tampil lebih baik pada set kedua.

Ia dibuktikan dengan kemenangan 21-13 untuk mengheret aksi ke set penentuan yang jelas lebih didominasi Pearly Tan-M. Thinaah.

Momentum positif itu diteruskan untuk mereka memastikan tempat ke final dengan kemenangan 21-12.

Kejayaan itu jelas menyemarakkan lagi semangat juang Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang turut menjelmakan corak permainan bertenaga untuk menewaskan pasangan tuan rumah, Thom Gicquel-Delphine Delrue.

Menang 21-18 pada set pertama, mereka meneruskan rentak cemerlang itu dengan kemenangan 21-16 untuk melakar sejarah menjadi pasangan beregu campuran pertama negara mara ke final.

Tang Jie-Ee Wei akan berhadapan dengan pasangan ranking kedua dunia dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin manakala Pearly-Thinaah pula bakal bertemu pemenang antara jaguh China, Liu Sheng Shu-Tan Ning dan Rin Iwanaga-Kei Nakanishi dari Jepun.