Dua wakil negara meneruskan kemaraan ke separuh akhir Kejohanan Badminton Dunia 2025 menerusi Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Pearly Tan-M. Thinaah.

Ketika harapan lebih disandarkan kepada sektor beregu lelaki, dua pasangan ini turun tanpa tekanan untuk masing-masing melakar sejarah tersendiri dalam karier mereka.

Ia dibuktikan apabila Tang Jie-Ee Wei menamatkan penantian selama 19 tahun untuk melihat gandingan beregu campuran meraih medal di Kejuaraan Dunia manakala Pearly-Thinaah pula menjadi pasangan beregu wanita pertama negara dalam sejarah dapat melangkah ke separuh akhir.

Tang Jie-Ee Wei beraksi kemas untuk menewaskan pasangan dari India, Dhruv Kapila-Tanisha Crasto dalam aksi ‘straight set’ 21-15, 21-13.

Pearly dan Thinaah pula mengenepikan cabaran juara Eropah dari Bulgaria, Stefani Stoeva-Gabriela Stoeva 21-15, 21-10.

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang kini menghuni ranking kedua dunia akan berhadapan dengan wakil tuan rumah, Thom Gicquel-Delphine Delrue.

Pearly Tan-M. Thinaah pula bakal menentang seteru utama dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida.

Bagaimanapun nasib tidak menyebelahi tiga lagi wakil negara iaitu Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang tewas kepada lawan masing-masing.

Berikut merupakan jadual perlawanan melibatkan Pemain Malaysia Di separuh akhir Kejohanan Dunia 2025:

Separuh Akhir Kejohanan Dunia 2025

1) Pearly Tan-M. Thinaah lawan Nami Matsuyama-Chiharu Shida (Jepun) – 5.10 Malam – Gelanggang 1

2) Chen Tang Jie-Toh Ee Wei lawan Thom Gicquel-Delphine Delrue (Perancis) – 6.00 Petang – Gelanggang 1