Saingan Piala Asia 2023 semakin menghampiri penghujung apabila senarai lengkap empat slot ke separuh akhir sudah pun diketahui sebaik sahaja Qatar menewaskan Uzbekistan, sebentar tadi.

Jordan melakar sejarah buat pertama kali mara ke separuh akhir selepas jaringan sendiri pemain Tajiskistan, Vakhdat Khanonov pada minit ke-66 memisahkan kedua-dua pasukan hingga tamat permainan.

Baca Juga:

Korea Selatan pula sekali lagi bangkit pada saat akhir permainan setelah jaringan sepakan penalti pada minit ke-96 oleh Hwang Hee-Chan mengheret aksi menentang Australia ke masa tambahan.

Son Heung-min kemudiannya muncul wira buat Taeguk Warriors selepas sepakan percuma yang diambil pada minit ke-102 menewaskan Matthew Ryan sekali gus meneruskan kemaraan Korea Selatan.

Skrip hampir sama dilakarkan Iran tetapi skuad kendalian Amir Ghalenoei tidak memerlukan hingga ke penentuan masa tambahan 30 minit.

Ketinggalan pada minit ke-28 hasil jaringan Hidemasa Morita, Iran kemudiannya menyamakan kedudukan ketika aksi memasuki minit ke-55 menerusi Mohammad Mohebi.

Kesilapan Kou Itakura yang mengasari Hossein Kanaani dalam kawasan penalti pada penghujung masa kecederaan menyaksikan Iran dihadiahkan sepakan penalti.

Alireza Jahanbakhsh tidak berdepan masalah untuk menghancurkan harapan Jepun yang merupakan naib juara edisi lalu.

Slot terakhir ke separuh akhir menjadi milik juara bertahan, Qatar yang menewaskan Uzbekistan menerusi penentuan sepakan penalti 3-2 setelah aksi 120 minit terikat 1-1.

Jadual perlawanan separuh akhir Piala Asia 2023

Jordan lawan Korea Selatan
11.00 Malam
6 Februari 2024 (Selasa)
Al-Rayyan Stadium

Iran lawan Qatar
11.00 Malam
7 Februari 2024 (Rabu)
Al Thumama Stadium