Legenda England, Micheal Owen seolah-olah memperkecilkan kejayaan yang dikecapi Harry Kane bersama Bayern Munich.

Setelah bertahun-tahun menunggu masa untuk menjulang piala, Kane merasai nikmat tersebut selepas semusim menyertai kelab gergasi Jerman itu.

Menyertai Bayern Munich pada awal musim 2023/24 dengan yuran perpindahan bernilai £86 juta, Kane akhirnya menjulang piala pertama dalam karier beliau ketika membantu kelabnya menjuarai Bundesliga 2024/25.

Kane yang kini berusia 32 tahun sudah meledakkan 65 gol pada 65 penampilannya dalam saingan Bundesliga dan mencipta 20 bantuan jaringan.

Pencapaian itu bagaimanapun tidak dihiraukan Owen, malah beliau turut mengkritik keputusan Kane memilih untuk berkelana ke saingan Bundesliga.

Kritikan Owen Terhadap Harry Kane

“Bagi saya, Harry Kane memang cukup berbisa. Dia seorang penyudah yang sangat hebat. Memang hebat,” ujar Owen menurut sumber laporan Goal.

“Saya tak setuju dengan keputusannya berpindah ke Jerman. Saya pernah suarakan perkara itu secara terbuka. Saya masih rasa keputusan itu agak gila.”

“Dia sebenarnya berada di ambang untuk jadi penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Perdana Inggeris. Dia ada anak-anak yang masih bersekolah. Bagi saya, memang tak masuk akal. Saya tak nampak logiknya.”

“Dan kalau dia terlalu terdesak nak menang sesuatu, buatlah setahun lagi di sana kemudian baru pergi ke… Tapi kalau pindah semata-mata untuk menang, ia macam… kalau awak pergi ke Celtic dan menang liga, bolehkah awak kata, ya, sayalah yang ubah keadaan itu?”

“Mereka (Bayern Munich) menang setiap tahun, tapi itu bukanlah pencapaian besar. Pencapaian sebenar adalah menjadi penjaring terbanyak dalam sejarah Liga Perdana Inggeris.”

“Itu akan jadi sesuatu yang luar biasa dan dia masih boleh menang piala sepanjang perjalanan itu,” tambah Owen lagi.

Sumber