Langkah pertama sering kali menjadi perkara penting dan Malaysia memulakannya dengan kemenangan dalam Kelayakan Piala Asia Futsal 2026 selepas mengatasi Emiriah Arab Bersatu (UAE) 1-0 pada aksi sulung, malam tadi.
Mendapat sorakan padu penyokong yang memenuhi Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan menyaksikan skuad negara tampil garang tetapi sering digagalkan dengan kecemerlangan penjaga gol UAE, Hamad Albaroud.
Baca Juga:
- Kelayakan Piala Asia Futsal 2026: Awalluddin Muncul Wira Malaysia Atasi UAE 1-0

- Brunei Tagih Sentuhan Jurulatih Dari Malaysia Hadapi Kelayakan Piala Asia Futsal 2026

- Senarai Akhir Skuad Malaysia Ke Kelayakan Piala Asia Futsal 2026

Namun, Awalluddin Mat Nawi berjaya menghadirkan keceriaan buat kem negara hasil jaringan kemenangan pada minit ke-38.
Di sebalik kemenangan penting tersebut, jelas kelihatan beberapa aspek kelemahan yang perlu segera diperbaiki skuad kendalian Rakphol Sainetngam menjelang dua lagi aksi selepas ini.
1) Penyudah Tumpul & Kurang Mencari Second Post (Tiang Kedua)
Sukan futsal memang terkenal dengan rembatan-rembatan padu ke arah pintu gol lawan dalam usaha untuk menjaringkan gol.
Namun ketika menghadapi UAE yang memiliki penjaga gol UAE berfizikal besar dan cekap menutup ruang, pemain Malaysia pula kerap bergantung kepada percubaan jarak jauh dan dalam kawasan D.
Sebaliknya, mereka jarang memanfaatkan ‘second post run’ dimana ia satu taktikal asas dalam futsal untuk membuka ruang mudah di tiang kedua (far post) untuk mendapatkan gol.
Beberapa kali kelihatan pemain negara sudah mencipta situasi 2 lawan 1 di bahagian sayap, tetapi tiada rakan yang benar-benar dapat menuju ke tiang kedua untuk menyudahkan hantaran lintang.
Kekurangan variasi serangan sebegini menjadikan UAE lebih mudah membaca corak permainan Malaysia sekali gus memaksa kita mengulang corak sama tanpa keberkesanan.
2) Terlalu Berhati-Hati
Malaysia kerap kelihatan terlalu terburu-buru melepaskan hantaran tanpa cuba mengekalkan penguasaan bola lebih lama.
Walaupun futsal sememangnya permainan pantas, ada ketika pemain negara sepatutnya berani memperlahankan rentak dan membina serangan dengan lebih tersusun.
Sikap terlalu berhati-hati ini menyebabkan UAE mendapat banyak peluang untuk merampas semula bola dan menekan Malaysia di kawasan sendiri.
Jika masalah ini tidak diperbaiki, ia akan memberi kelebihan besar kepada pasukan lawan yang memiliki kualiti ‘pressing’ tinggi dan berkelas dunia seperti Iran.
Selain gagal mengekalkan penguasaan bola, skuad negara juga agak lambat settle down pada fasa awal perlawanan.
Beberapa hantaran mudah tersasar dan kawalan bola kurang kemas memberi ruang kepada UAE mengatur serangan berbahaya.
Kurangnya persefahaman, terutama ketika melakukan rotation atau membuka ruang di kawasan lawan, turut menyulitkan aliran permainan.
3) Decision Making Penjaga Gol
Tidak dinafikan penjaga gol negara tampil cemerlang dengan beberapa ‘save’ penting yang menyelamatkan gawang daripada dibolosi.
Namun, ada dua situasi yang menimbulkan tanda tanya terhadap tahap ‘decision making’nya apabila beliau keluar terlalu jauh dari posisi asal.
Tindakan berisiko itu hampir sahaja membuka ruang mudah untuk UAE menghukum Malaysia, malah salah satunya mengakibatkan beliau dilayangkan kad kuning.
Walaupun keberanian sebegini kadang-kadang diperlukan dalam futsal moden, penjaga gol juga perlu lebih bijak menilai keadaan agar tidak mendedahkan pasukan kepada ancaman tidak perlu.
4) Taktikal Setpiece Tidak Menjadi
Dalam futsal, situasi bola mati seperti kick-in, sepakan penjuru, dan sepakan percuma sering menjadi senjata penting untuk merobek pertahanan lawan.
Namun, Malaysia gagal memanfaatkan sepenuhnya peluang sebegini ketika menentang UAE.
Hampir semua set-piece yang dilakukan tidak menghasilkan ancaman berbahaya, sama ada kerana hantaran yang tidak tepat, pergerakan tanpa bola yang kurang agresif, atau variasi taktikal yang terlalu mudah dibaca lawan.
Kekurangan kreativiti pada aspek ini menyebabkan Malaysia terlepas peluang keemasan untuk menambah jaringan dalam perlawanan yang sengit.
Sentuhan Rakphol Dalam Mengubah Taktikal Malaysia
Perubahan taktikal jelas dapat disaksikan apabila pengendali kelahiran Thailand itu mula memberi kepercayaan kepada barisan pemain yang lebih pantas, memanfaatkan kelemahan UAE yang kelihatan agak perlahan dalam bertahan.
Babak kedua menyaksikan Malaysia tampil dengan pendekatan lebih agresif bukan sahaja dari segi intensiti, tetapi juga variasi percubaan.
Pemain negara lebih banyak melepaskan rembatan rendah berbanding cubaan tinggi yang mudah dibaca penjaga gol dan akhirnya ia diterjemahkan melalui jaringan Awalluddin Mat Nawi yang melepaskan rembatan leret menewaskan Hamad Albaroud.
Selain itu, tekanan tinggi (high pressing) juga dipraktikkan dengan lebih konsisten pada separuh masa kedua.
Strategi ini nyata membuatkan UAE bergelut, terutama apabila mereka mula kehilangan keyakinan setiap kali ditekan di kawasan sendiri.
Barisan pemain juga memainkan peranan baik dalam menutup ‘passing line’ ke pivot (pemain serangan) pada separuh masa kedua.
Perubahan ini mencerminkan keberanian dan kebijaksanaan Rakphol membaca kelemahan lawan dan mengubah rentak permainan.
Kesimpulan
Kemenangan ini mungkin hadir dengan margin tipis tetapi ia tetap menjadi langkah penting buat skuad negara.
Yang lebih utama, bagaimana Rakphol dapat memperbaiki kelemahan yang terserlah sebelum berdepan Bangladesh dan seterusnya Iran, yang pasti menguji keupayaan sebenar Malaysia.