Zinedine Zidane akan sentiasa diingati sebagai seorang legenda yang cukup berpengaruh dan sangat bijak ketika beraksi di atas padang.

Menjulang trofi Piala Dunia 1998 serta Kejuaraan Eropah 2000 bersama Perancis, nama Zidane kian melonjak selepas beliau menyertai Real Madrid pada musim 2001/02 dan pantas menjuarai Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Baca Juga:

Selepas bersara, kecemerlangan itu diteruskan apabila Zidane menghadiahkan tiga kejuaraan UCL berturut-turut bersama Real Madrid.

Zidane Teruja Dengan Tiga Pemain Ini

Kini walaupun sudah tidak lagi membimbing pasukan, beliau masih mengikuti dengan cukup rapat perkembangan bola sepak dan mengakui teruja melihat aksi tiga pemain muda ini.

Pemain dimaksudkan ialah Lamine Yamal, Joao Neves dan Vitinha yang nyata memainkan peranan penting bersama kelab masing-masing.

“Tidak kira di posisi mana dia bermain, seorang pemain yang benar-benar membuat saya teruja setiap kali menyentuh bola ialah Lamine Yamal.”

“Musim lalu, ketika menentang Inter Milan di San Siro dalam saingan Liga Juara-Juara, dia melakukan segalanya seorang diri,” ujar Zidane menurut sumber laporan Sport Bible.

Zidane turut memberikan pujian tinggi kepada dua pemain tengah Portugal milik Paris Saint-Germain (PSG), Joao Neves dan Vitinha yang memainkan peranan penting dalam kejayaan ‘treble’ kelab itu musim lalu.

Beliau sangat mengagumi kemampuan mereka mengawal bola, sambil berkata: “Mereka tidak pernah kehilangan bola.”

Rasa kekaguman itu jelas menunjukkan bagaimana Zidane yang suatu ketika dahulu menjadi lambang kecemerlangan bola sepak Eropah, kini melihat semangat dan bakat sama terpancar dalam generasi baharu.

Lamine Yamal dan Joao Neves terutamanya mewakili wajah masa depan bola sepak dimana mereka masih muda, berani, dan sangat baik dalam teknikal.

 

Sumber