Bekas pemain sayap Manchester United, Nani menegaskan bahawa isu disiplin yang sedang dihadapi oleh ketua jurulatih semasa, Ruben Amorim tidak mungkin berlaku sekiranya kelab itu masih dikendalikan oleh pengurus legenda, Sir Alex Ferguson.

Pengendali dari Scotland itu terkenal dengan keupayaannya mengekalkan ketertiban dalam bilik persalinan Red Devils termasuk menerapkan apa yang dikenali sebagai “hairdryer treatment” apabila merasakan ada pemain yang melangkaui batas pada suatu ketika dahulu.

Baca Juga:

Menjelang kunjungan Manchester United ke Aston Villa dalam aksi Liga Perdana Inggeris Ahad lalu, pengurus Ruben Amorim menuduh pemain-pemain muda kelab itu bersikap ‘terlalu selesa’ apabila ditanya mengapa beliau agak keberatan untuk memberi kepercayaan kepada mereka pada musim ini.

Pengendali berusia 40 tahun itu sebelum ini turut mengkritik perkembangan dua pemain muda, iaitu pertahanan Harry Amass, yang kini dipinjamkan ke Sheffield Wednesday serta penyerang Chido Obi.

Kritikan yang menyebabkan kedua-dua pemain tersebut mempertahankan prestasi mereka menerusi hantaran di media sosial yang berunsur sindiran halus.

Nani Kongsi Pengalaman Bersama Sir Alex Ferguson

Melihatkan kepada keadaan tersebut, Nani mengakui bahawa pemain-pemain muda tersebut beruntung kerana tidak bermain di bawah kendalian Ferguson.

“Tidak mungkin, langsung tiada peluang. Jika seseorang memerlukannya, dia akan menyisihkan seorang pemain untuk satu perlawanan dan biasanya pemain itu akan terus belajar.”

“Jika anda bermasalah kerana sebarang bentuk tingkah laku buruk, anda hanya akan bermain semula apabila anda berubah,” ujar Nani menurut sumber laporan Goal.

“Anda perlu menerima peraturan dan kemudian mematuhinya. Bagi kami pada waktu itu, itulah kuncinya.”

“Tiada siapa yang lebih besar daripada kelab. Tiada pemain, bukan Ronaldo, bukan Rooney, bukan Giggs.  Tiada siapa. Jika tingkah laku anda tidak cukup baik, anda akan dihukum.”

“Ia sebenarnya pernah berlaku kepada saya dalam beberapa minggu pertama saya. Saya bermain satu perlawanan yang sangat hebat dan kemudian saya tidak diturunkan selama beberapa minggu.”

“Saya mengadu, bercakap dengan Cristiano, berkata ‘hei, saya tak tahu kenapa saya tidak bermain’. Saya tahu ada sesuatu di sebalik tabir yang mereka mahu saya perbaiki dan apabila saya tahu apa perkara itu, saya menanganinya, bekerja keras.”

“Pemain-pemain ini perlukan perkara yang sama iaitu disiplin dan peraturan,” tambah beliau lagi.

Sumber