Sir Alex Ferguson telah menikmati begitu banyak kenangan manis sepanjang membimbing Manchester United bermula November 1986 hingga Mei 2013.

Sepanjang 26 tahun itu, beliau telah memenangi 38 trofi dimana 13 daripadanya adalah gelaran selaku juara English Premier League (EPL).

Baca Juga:

Lebih satu dekad beliau meninggalkan karier kejurulatihannya, pengurus legenda kelahiran Scotland itu masih lagi dianggap sebagai antara pengurus terbaik dalam sejarah bola sepak dunia.

Sepanjang waktunya bersama kelab itu, Ferguson secara meluas dipuji kerana sentiasa membuat keputusan terbaik untuk pasukan, tanpa mengira siapa yang mungkin terasa hati atau kecewa dengan keputusan tersebut.

Namun dalam tempoh tersebut sebagai seorang pengurus pasukan, ada perkara yang membuatkan Alex Ferguson menyesal dengan keputusan dibuat dalam kariernya itu.

Malah, keputusan tersebut diakui sendiri oleh Ferguson bahawa beliau amat menyesalinya hingga ke hari ini.

Ia adalah berkaitan keputusannya dalam memilih pemain dalam menghadapi perlawanan akhir UEFA Champions League (UCL) 2007/08 bertemu Chelsea di Moscow, Rusia.

Kekesalan Sir Alex Ferguson Dalam Kariernya

“Untuk memenangi Piala Eropah adalah sesuatu yang luar biasa,” ujar Ferguson menurut sumber Sport Bible.

“Ia adalah kumpulan pemain yang sangat hebat, dengan sikap yang luar biasa dan skuad yang kuat serta berkualiti.

“Masalah saya dalam final 2008 dan mungkin saya masih menyesalinya hingga hari ini ialah saya langsung tidak menyenaraikan Park Ji-Sung dalam perlawanan akhir itu.”

“Dia memainkan peranan yang begitu besar sebelum itu dan inilah masalahnya bila kita sampai ke perlawanan akhir seperti ini. Tiada seorang pun pemain yang layak untuk diketepikan daripada final.”

Kekesalan Sir Alex Ferguson itu asasnya kerana Park Ji-Sung beraksi hampir kesemua perlawanan sebelum itu selaku pemain kesebelasan utama.

Legenda Korea Selatan itu tanpa berselindung turut mengakui dirinya amat kecewa dengan tindakan pengurus tersebut tidak menyenaraikan namanya langsung pada aksi bertemu Chelsea.

Sumber