Mikel Arteta menyatakan bahawa Arsenal sudah bersedia untuk memberi saingan sepenuhnya kepada Manchester City dalam perebutan kejuaraan English Premier League (EPL) 2025/26 ketika kedua-dua pasukan terus bersaing sengit di puncak carta liga.
The Gunners seketika kehilangan kedudukan teratas susulan kemenangan lewat City ke atas Nottingham Forest pada Sabtu, sebelum kelab dari utara London itu kembali merampas puncak liga selepas menewaskan Brighton and Hove Albion pada hari yang sama.
Baca Juga:
- Arsenal Mahu 3 Mata Dan Layak Menang Kata Arteta

- 4 Gol Dalam Masa 13 Minit, Arteta Tak Sangka Arsenal Boleh Belasah Atletico

- Mikel Arteta Sasar Kejuaraan UCL

Arsenal akan berhadapan dengan Aston Villa pada awal pagi esok di laman sendiri manakala Manchester City pula bakal berkunjung ke Stadium of Light untuk berhadapan dengan Sunderland, 2 Januari nanti.
Melihatkan kepada persaingan sengit pada ketika ini, Arteta tampil mengatakan pasukannya kini sudah bersiap sedia untuk bersaing hebat dengan The Cityzens.
Keyakinan Mikel Arteta
“Kita hanya boleh kawal apa yang kita lakukan dan kita sedang melakukan banyak perkara baik yang saya rasa kita juga perlu perbaiki supaya memiliki kelebihan lebih baik,” ujar Arteta menurut sumber laporan Goal.
“Kita juga perlukan lebih ramai pemain kembali agar mempunyai lebih banyak pilihan dan mengekalkan pasukan dalam keadaan segar. Setiap tiga hari akan menjadi satu cabaran dan kami bersedia untuk itu.”
Apabila ditanya mengenai suasana tegang di dalam Stadium Emirates selepas Brighton menjaringkan gol saguhati, Arteta menambah: “Itu menunjukkan keinginan untuk menang! Kita semua sangat mahu menang.”
“Sekarang saya tidak mahu kehilangan apa yang kita ada dan kita perlu bermain untuk terus menjaringkan gol serta menunjukkan ketenangan dan kemampuan itu.”
“Kita sepatutnya menjaringkan gol ketiga. Kita mempunyai dua peluang besar untuk menjadikan kedudukan 3-1 dan keadaan mungkin berbeza.”
“Tetapi kita tidak berjaya, jadi kita perlu menanggung sedikit tekanan lagi,” tambah beliau lagi.