Ketika Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjadi sasaran serangan segenap sisi berkaitan skandal pendaftaran pemain warisan, skuad futsal Malaysia dilihat sebagai ‘pengubat duka’ dengan beberapa pencapaian yang masih boleh dibanggakan.

Mara ke pusingan akhir Piala Asia Futsal 2026 di Jakarta, skuad negara kendalian Rakphol Sainetngam turut meraih pingat gangsa dalam acara futsal lelaki Sukan SEA 2025 dan menduduki tempat ketiga Kejuaraan Futsal B-19 ASEAN tempoh hari.

Namun, malam tadi peminat futsal digemparkan dengan berita Rakphol mengucapkan selamat tinggal selepas dua tahun bersama skuad kebangsaan.

Menurut kenyataan rasmi dikeluarkan FAM, jurulatih yang mesra dengan panggilan ‘Coach Hamee’ itu berkemungkinan besar akan bersama skuad kebangsaan Thailand selepas pengendali terdahulu, Miguel Rodrigo meninggalkan pasukan sebaik sahaja berakhirnya Sukan SEA di Bangkok bulan lalu.

Ketidakpastian Menjelang Saingan Di Jakarta

Berita ini menimbulkan ketidakpastian besar menjelang Piala Asia Futsal 2026 yang bermula 27 Januari nanti dimana Malaysia berada dalam kumpulan sukar bersama Iran, Afghanistan dan Arab Saudi.

Dengan masa persiapan yang singkat, skuad negara kini berdepan cabaran bukan sahaja dari segi taktikal tetapi juga mental dan motivasi pemain.

Sepanjang dua tahun berbakti, Rakphol telah membentuk gaya permainan dan strategi pasukan yang dilihat semakin menunjukkan peningkatan.

Sehubungan dengan itu, ia secara langsung telah meninggalkan jurang besar yang perlu diisi segera.

Selain itu ada perkembangan kurang baik juga sedang melanda kem negara kerana pemain muda berpengaruh besar, Syahir Iqbal Khan Akbar Khan berkemungkinan terpaksa diketepikan ekoran kecederaan lutut dialami ketika Sukan SEA tempoh hari.

Cabaran Taktikal Jurulatih Malaysia Selepas Ini

Mana-mana jurulatih yang bertanggungjawab selepas ini pasti memberi risiko terhadap konsistensi taktikal terutamanya dalam tempoh yang terlalu singkat sebegini.

Pemain mungkin sukar menyesuaikan diri dengan arahan baru atau interim coach yang belum sempat membina kefahaman penuh dengan skuad.

Ini termasuk strategi pertahanan, corak serangan dan pengurusan rotasi pemain yang sangat kritikal dalam kejohanan bertaraf Asia.

Selain itu, moral pemain turut diuji. Skuad futsal Malaysia terkenal dengan semangat juang tinggi, namun tanpa pemimpin taktikal tetap, keyakinan diri pemain mungkin terjejas.

Kapten pasukan dan pemain senior kini perlu mengambil peranan lebih besar bagi memastikan disiplin dan fokus kekal utuh.

Tekanan Terhadap FAM

Di pihak FAM, tekanan meningkat untuk mencari penyelesaian segera. Sama ada dengan melantik interim coach atau membawa jurulatih baru dengan pantas, persatuan perlu memastikan pasukan tidak kehilangan momentum.

Dapat disaksikan pasukan tuan rumah, Indonesia sudah mula memanggil barisan pemain untuk meneruskan sesi latihan meskipun baharu sahaja memenangi pingat emas Sukan SEA.

Kegagalan membuat persiapan rapi boleh menjejaskan peluang Malaysia untuk bersaing dengan hebat di peringkat Asia.

Piala Asia Futsal 2026 bukan sahaja akan menguji kemahiran teknikal skuad Malaysia tetapi juga daya ketahanan mental dan semangat juang mereka.

Dengan masa yang semakin suntuk, fokus utama kini adalah memastikan pemain kekal bersatu dan bersedia menghadapi cabaran, walaupun tanpa jurulatih tetap.

Apa sahaja yang terpaksa dilalui menjelang sepak mula, besar harapan semua pihak termasuk penyokong mahu melihat barisan pemain futsal negara dapat menyajikan corak permainan bertenaga dalam berdepan kuasa-kuasa besar Asia itu nanti.