Skuad Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) muncul juara Kejohanan Futsal Wanita Kebangsaan 2026 selepas menewaskan Perdana BTR 2-1 pada aksi final di Arena Futsal FAM, petang tadi.
Kejayaan manis itu hadir secara dramatik apabila jaringan kemenangan hadir ketika aksi berbaki 20 saat, sekali gus mencetuskan pesta kemenangan buat skuad kendalian Mohd Fairuz Mohd Noor.
MBSJ seharusnya menang dengan defisit lebih besar tetapi ketangkasan penjaga gol Perdana BTR, Asma Junaidi membuatkan mereka terpaksa menanti hingga ke saat akhir.
Ia jelas dibuktikan dengan tekanan hebat diberikan MBSJ pada awal babak pertama sering kali mengancam kubu Perdana BTR.

Keadaan yang memaksa Asma bekerja keras dalam usaha menafikan deretan percubaan yang dijelmakan MBSJ.
Lima percubaan dilancarkan ke arah gawang Perdana BTR pada lima minit awal tetapi Asma kental bertahan dalam memastikan pintu golnya tidak dibolosi.
Hujan serangan itu berterusan dan anak kelahiran Sabah tersebut tetap tangkas menafikan percubaan demi percubaan dijelmakan MBSJ terutamanya menerusi Fatin Shahida Azmi.
Perdana BTR yang sesekali mengasak kubu lawan berjaya mendapatkan jaringan pembukaan pada minit ke-22 hasil jaringan Nurin Umairah Abdul Manan.
Jaringan tersebut berpunca tolakan mudah Nurin Umairah selepas menerima umpanan Masturah Majid ketika situasi sepakan ke dalam.
Tuah Memihak MBSJ
Aksi selepas itu semakin menarik untuk disaksikan dengan kedua-dua pasukan berusaha keras bagi mengubah kedudukan.
Usaha MBSJ membuahkan hasil pada minit ke-31 selepas Nur Syafiqah Zainal Abidin memperdayakan fixo (pertahanan) dan Asma untuk menyamakan kembali kedudukan.

Usaha Asma yang cuba melakukan sepakan terus dari posisinya jelas memakan diri apabila bola terkena kepala Syafiqah lalu masuk ke gawangnya ketika aksi semakin hampir untuk ditamatkan.
Perdana BTR cuba untuk menggunakan taktikal ‘Power Play’ dalam tempoh masa yang cukup singkat untuk menyamakan kembali kedudukan.
Namun, ia sudah terlambat buat mereka yang akhirnya membolehkan MBSJ meraikan siren penamat dibunyikan dengan lonjakan keriangan.