Perlawanan pertama kumpulan D Piala Asia Futsal 2026: Malaysia lawan Iran [28 Januari 2026, 6:00 petang]
Para peminat futsal tempatan boleh menyaksikan siaran langsung saingan berprestij di Asia melibatkan skuad negara di Jakarta pada petang ini.
Perlawanan Pertama Malaysia Di Piala Asia Futsal 2026
Malaysia lawan Iran
Sepak mula: 6:00 petang, 28 Januari 2026 (Rabu)
Tempat: Jakarta International Velodrome, Indonesia
Link Siaran Langsung: Astro Arena Bola (801) & Astro GO
Astro Arena menjadi satu-satunya saluran televisyen tanah air yang menyiarkan siaran langsung Piala Asia Futsal 2026 melibatkan aksi skuad negara dan beberapa pasukan terbaik di benua ini.

Sekiranya anda tidak berada di rumah dan mahu menyaksikannya di komputer riba mahupun telefon pintar, anda perlu memiliki aplikasi Astro Go atau Sooka untuk menonton secara ‘Live Streaming’.
Tugas getir pastinya bakal menanti skuad kendalian Addie Azwan Zainal pada aksi pembukaan. Hal ini kerana Iran merupakan antara kuasa besar futsal dunia.
Barisan pemain yang diturunkan Vahid Shamsaei juga merupakan bintang ternama pernah berkelana ke Eropah seperti Hossein Tayebi, Moslem Oladghobad, Salar Aghapour dan Saeed Ahmad Abbasi.
Pertemuan terakhir melibatkan kedua-dua pasukan pada Kelayakan Piala Asia di Kuantan tahun lalu juga menyaksikan Iran menang 4-0.
Namun, keputusan itu tidak seharusnya melemahkan semangat juang barisan pemain negara walaupun sedar jurang besar pasti akan dapat disaksikan.

Perlawanan menentang Iran boleh menjadi pentas terbaik buat Malaysia menguji tahap sebenar pasukan di peringkat Piala Asia Futsal 2026.
Bukan mahu merendah-rendahkan kemampuan skuad negara, fokus utama pastinya untuk kekal kompetitif, mengelak kekalahan besar serta mencuri sekurang-kurangnya satu mata sekiranya peluang terhidang.
Perlawanan ini bukan sekadar soal keputusan tetapi juga ukuran sejauh mana skuad negara mampu berdiri sebaris dengan kuasa besar Asia.
Apa jua hasilnya nanti, sokongan padu peminat futsal tanah air pastinya menjadi suntikan moral penting buat pemain-pemain negara yang bakal mengharungi kejohanan mencabar ini.