Perlawanan kedua kumpulan D Piala Asia Futsal 2026: Malaysia lawan Afghanistan [30 Januari 2026, 6:00 petang]

Para peminat futsal tempatan boleh menyaksikan siaran langsung saingan berprestij di Asia melibatkan skuad negara di Jakarta pada petang ini.

Perlawanan Kedua Malaysia Di Piala Asia Futsal 2026

Malaysia lawan Afghanistan
Sepak mula: 6:00 petang, 30 Januari 2026 (Jumaat)
Tempat: Jakarta International Velodrome, Indonesia
Link Siaran Langsung: Astro Arena Bola (801) & Astro GO

Astro Arena menjadi satu-satunya saluran televisyen tanah air yang menyiarkan siaran langsung Piala Asia Futsal 2026 melibatkan aksi skuad negara dan beberapa pasukan terbaik di benua ini.

Sekiranya anda tidak berada di rumah dan mahu menyaksikannya di komputer riba mahupun telefon pintar, anda perlu memiliki aplikasi Astro Go atau Sooka untuk menonton secara ‘Live Streaming’.

Malaysia
Kredit Foto: FAM

Skuad negara bakal turun pada aksi kedua petang ini dengan misi wajib mencapai kemenangan untuk membuka kembali peluang ke peringkat suku akhir.

Setelah mempamerkan aksi bertenaga pada separuh masa pertama bertemu Iran, beberapa kesilapan mudah menyebabkan gergasi dunia itu berjaya menambah tiga lagi jaringan di babak kedua.

Meskipun tewas, skuad kendalian Addie Azwan Zainal itu masih mampu menyajikan corak permainan baik dalam memberikan tekanan buat Iran.

Petang ini mereka akan berhadapan dengan satu lagi pasukan yang membuat penampilan dalam Piala Dunia Futsal 2024 iaitu Afghanistan.

Piala Asia Futsal 2026
Kredit Foto: FAM

Di atas kertas sememangnya tugas sukar menanti barisan pemain negara, namun tiada yang mustahil untuk mereka melakar kejutan.

Awalluddin Mat Nawi sekali lagi dipertaruhkan untuk merobek gawang lawan seperti dilakukannya ketika berdepan Iran.

Kekentalan penjaga gol, Syaifuddin Syukri Ibrahim Lincoln juga diharapkan dapat menghadirkan magis buat skuad negara petang ini.

Barisan pemain lain juga perlu mengambil kesempatan membuktikan kemampuan diri sekiranya diberikan peluang beraksi.