Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa amat dukacita dan kecewa susulan insiden membakar suar di Jambatan Angkat (Drawbridge) Kuala Terengganu membabitkan penyokong Selangor FC pada Ahad lalu.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah (Selangor Royal Office) sebentar tadi, Sultan Sharafuddin bertitah bahawa baginda tidak berkenan dengan perbuatan tidak bermoral yang semakin menular dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan terutamanya melibatkan penyokong Selangor.

Baginda juga dalam pada itu berharap agar hukuman setimpal diterima individu yang membuat kekacauan tersebut.

Sultan Selangor Zahir Rasa Dukacita

“Merujuk kepada insiden membakar suar di Jambatan Angkat Kuala Terengganu yang didakwa membabitkan penyokong pasukan bola sepak Selangor FC pada 1 Februari 2026.”

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sebagai Penaung Selangor FC menzahirkan rasa amat dukacita dan kecewa dengan insiden berkenaan.”

“Baginda tidak berkenan dengan kegiatan tidak bermoral seperti budaya samseng dan gangsterisme yang kian menular di kalangan penyokong bola sepak tempatan, khususnya yang memakai jersi pasukan Selangor FC.”

“Baginda mahu agar pihak Polis mencari dalang di sebalik insiden itu dan sekıranya didapati bersalah, mereka yang terbabit haruslah dihukum dengan hukuman yang maksimum dan setimpal mengikut undang-undang.”

“la sebagai pengajaran kepada para penyokong Selangor FC yang lain supaya insiden seumpamanya tidak berulang.”

“Baginda menyeru semua penyokong pasukan Selangor FC sentiasa mengawal tingkah laku masing-masing serta menjaga nama baik pasukan dan negeri.”

“Baginda turut mencadangkan agar penyokong-penyokong Selangor FC yang disabitkan kesalahan menimbulkan kekacauan, agar diharamkan daripada masuk ke stadium untuk menghadiri mana-mana perlawanan membabitkan pasukan itu.”