Selangor FC tampil mengeluarkan kenyataan rasmi susulan insiden yang melibatkan sebilangan minoriti penyokong mereka di Jambatan Angkat (Drawbridge), Kuala Terengganu, sebelum perlawanan Liga Super 2025/26 menentang Terengganu FC baru-baru ini.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi, kelab menzahirkan rasa kesal terhadap insiden berkenaan, sambil menegaskan bahawa tindakan segelintir penyokong itu tidak mencerminkan nilai sebenar komuniti bola sepak Selangor.
Pada masa sama, kelab tersebut turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu atas tindakan tegas yang diambil bagi memastikan ketenteraman awam terpelihara serta menjamin keselamatan orang ramai.
Kelab menegaskan pendirian mereka yang tidak berkompromi terhadap sebarang tingkah laku yang melanggar undang-undang atau mengancam keselamatan masyarakat.
Menurut Selangor FC, perbuatan sedemikian jelas bercanggah dengan prinsip serta budaya yang ingin dipupuk dalam kalangan penyokong Red Giants.
Selangor FC Harap Inisden Jadi Pengajaran
Dalam nada reflektif, Selangor berharap insiden ini dapat dijadikan pengajaran oleh semua pihak bukan sahaja kepada penyokong mereka, tetapi juga komuniti bola sepak secara keseluruhan.
Kelab menekankan kepentingan sikap bertanggungjawab, saling menghormati dan perpaduan dalam membina budaya sokongan yang lebih matang dan positif.
Selangor FC turut menyatakan keterbukaan mereka untuk terus berdialog dengan mana-mana kumpulan penyokong, selain komitmen untuk bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan terjamin serta suasana bola sepak tempatan kekal meriah dan harmoni.
