Selangor FC sebentar tadi mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung larangan masuk ke stdikenakan terhadap kumpulan Ultra Selangor (UltraSel).

Tindakan itu dikenakan selepas insiden yang berlaku di Jambatan Angkat (Drawbridge), Kuala Terengganu, sebelum perlawanan Liga Super 2025/26 menentang Terengganu FC baru-baru ini.

Insiden tersebut menyebabkan 400 penyokong ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu bagi menjalani pemeriksaan saringan air kencing.

Malah lebih menyulitkan keadaan, 12 daripada didakwa memiliki dan menyalahgunakan dadah.

Keadaan tersebut turut menyebabkan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa amat dukacita dan kecewa.

Sehubungan dengan itu dalam satu kenyataan rasmi dikeluarkan, Selangor telah memutuskan tindakan disiplin terhadap Ultra Selangor.

Hukuman Dikenakan Selangor FC

“Selangor FC menjunjung kasih titah perintah dan cadangan DYMM Sultan Selangor selaku Penaung Diraja Kelab serta nasihat DYTM Raja Muda Selangor selaku Pengerusi Selangor FC berkenaan insiden yang melibatkan segelintir penyokong sebelum perlawanan Liga Super menentang Terengganu FC pada 1 Februari 2026.”

“Kelab tidak bertolak ansur terhadap sebarang pelanggaran undang-undang dan akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menjamin ketenteraman dan keselamatan orang awam.”

“Hasil penelitian fakta kes dan perbincangan bersama pihak berkuasa, tindakan disiplin berikut telah diputuskan ke atas penyokong-penyokong yang terlibat.”

“Ultra Selangor dilarang menghadiri tiga (3) perlawanan Selangor FC bermula dengan perlawanan pada 8 Februari 2026 sehingga 22 Februari 2026, melibatkan kedua-dua perlawanan suku akhir Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan FC dan perlawanan Liga Super menentang Kuching City FC; dan”

“Individu-individu yang disabitkan kesalahan atas kes penyalahgunaan dadah dan/atau kes memiliki dadah adalah dilarang memasuki stadium untuk mana-mana perlawanan bolasepak yang melibatkan Selangor FC selama tiga (3) tahun berkuatkuasa serta merta.”

“Selangor FC percaya bahawa Ultra Selangor akan mengambil iktibar dari insiden ini dan Kelab berharap bahawa mereka akan kembali ke stadium dengan semangat dan azam yang baharu serta menjadi teladan dalam memeriahkan suasana bola sepak tempatan.”

“Selangor FC juga menyeru agar semua penyokong terus menyokong Kelab secara bertanggungjawab dan saling menghormati untuk memelihara keselamatan awam, imej kelab dan masa depan bola sepak tempatan.”

Sumber