Sebelum mengumumkan persaraan pada 17 Ogos 2020, Vincent Kompany telah menikmati 621 penampilan di peringkat senior sejak 2023.

Pencapaian terbaiknya sudah pasti ketika bersama Manchester City yang menyaksikan bekas pertahanan kental itu menjulang trofi English Premier League (EPL) sebanyak empat kali.

Manakala, pencapaian terbaiknya sepanjang menyarung jersi skuad kebangsaan Belgium meraih tempat ketiga dalam Piala Dunia 2018.

Beliau yang kini bertindak selaku pengurus Bayern Munich telah diajukan soalan oleh penyokong dalam kalangan peminat cilik kelab tersebut dalam satu sesi khas ‘Sidang Media Kanak-Kanak’.

Pemain Paling Sukar Dihadapi Kompany

Salah satu soalan yang diajukan kepada Kompany adalah mengenai pemain paling sukar yang pernah dihadapinya sepanjang kariernya.

Walaupun memberikan pujian istimewa kepada Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo, Kompany sebenarnya tidak melihat kedua-dua ikon bola sepak itu sebagai pemain yang begitu sukar buatnya.

Sebaliknya, beliau memilih seorang lagi bekas bintang Barcelona iaitu Ronaldinho, dan legenda tersebut merupakan pemain yang paling meninggalkan kesan mendalam buatnya.

“Ada ramai, tetapi ada seorang yang lebih mengagumkan saya berbanding yang lain. Ia adalah Ronaldinho, kamu kenal dia?” kata Vincent kepada kanak-kanak tersebut menurut sumber laporan Marca.

“Sudah tentu, Messi dan Ronaldo sangat luar biasa, mereka mungkin pemain terbaik, tetapi berdasarkan apa yang saya lihat dalam satu perlawanan, ia adalah Ronaldinho.”

Terdapat juga beberapa soalan santai yang diajukan oleh ‘wartawan masa depan’ itu di celah soalan-soalan serius, termasuk mengenai permainan video kegemaran Kompany iaitu Fortnite serta siapakah pemain paling kelakar dalam skuad Bayern.

“Ada beberapa orang, tetapi saya akan berikan gelaran itu kepada Konrad Laimer,” jelas Kompany lagi.

Sumber