Leonardo Bonucci berpendapat bahawa Pep Guardiola sebagai calon ideal untuk mengetuai revolusi bagi pasukan kebangsaan Itali.

Bekas pertahanan legenda itu percaya pengurus Manchester City tersebut adalah satu-satunya individu yang mampu memodenkan skuad Gli Azzurri selepas kegagalan buat kali ketiga berturut-turut mereka untuk layak ke Piala Dunia.

Walaupun kejayaan di Euro 2020 memberikan lonjakan sementara, masalah ketidakstabilan prestasi serta isu struktur telah menyebabkan juara dunia empat kali itu terus tercari-cari identiti baharu di bawah kepimpinan generasi seterusnya.

Susulan dengan episod hitam itu Bonucci melihat pengendali Manchester City itu adalah sesuai untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan pengurus terdahulu Gennaro Gattuso.

Pendapat Bonucci Tentang Pengganti Gattuso

“Perkara paling penting adalah membina semula bola sepak Itali dari akar umbi, bermula dengan bahagian pertahanan,” ujar Bonucci menurut sumber laporan Goal.

“Kita mesti berani berdepan situasi ini secara terus agar dapat meraih semula penghormatan seluruh dunia dan kembali menjadi pasukan hebat yang pernah bergelar juara dunia.”

“Terdapat ramai pemain muda yang sangat berbakat. Kita perlu memberi mereka masa untuk berkembang dan meningkatkan prestasi.”

“Masa adalah satu-satunya ‘keajaiban’ sebenar, dan jika perubahan radikal benar-benar diinginkan, Pep Guardiola adalah individu paling sesuai untuk tugas itu.”

“Ia memang sukar, tetapi bermimpi itu percuma,” tambah Bonucci lagi.

Selain mencari pengurus bertaraf dunia, Leonardo Bonucci turut menekankan bahawa masyarakat dan persekutuan bola sepak Itali perlu bersabar dengan kelompok pemain muda yang sedang meningkat naik.

Bekas pertahanan itu yang bersara pada tahun 2024, memahami tekanan besar mewakili jersi biru Azzurri serta harapan tinggi yang datang bersamanya.

Namun begitu, tanpa mengira sama ada figura seperti Pep Guardiola akan mengambil alih atau tidak, Gli Azzurri tetap hanya akan menjadi penonton pada Piala Dunia musim panas ini.

Sumber