Bekas pengurus kelahiran Itali, Fabio Capello melihat kekalahan besar 1-6 Atalanta ke atas Bayern Munich merupakan pengajaran yang cukup berguna buat bola sepak di negara tersebut.
Beraksi di laman sendiri, Atalanta yang dibimbing Raffaele Palladino nyata tidak mampu menyaingi kehebatan juara enam kali itu.
Gol tunggal skuad La Dea hadir pada minit ke-92 menerusi Mario Pasalic manakala jaringan Bayern Munich dihasilkan oleh Josip Stanisic (minit ke-12), Micheal Olise (minit ke-22 dan 64), Serge Gnabry (minit ke-25), Nicolas Jackson (minit ke-52) dan Jamal Musiala pada minit ke-67.

Atalanta Tak Mampu
Melihatkan kepada keadaan tersebut, Capello turut beranggapan Atalanta bernasib baik tidak dibolosi lebih banyak gol.
“Atalanta bernasib baik kerana hanya melepaskan enam gol kerana penjaga gol mereka [Marco Carnesecchi] melakukan beberapa penyelamatan hebat.”
“Ia sebenarnya boleh menjadi lebih teruk. Persembahan Bayern Munich adalah satu pengajaran kepada bola sepak Itali,” ujar Capello menurut sumber laporan Goal.
“Pasukan kendalian Palladino merupakan satu-satunya [kelab Itali] yang layak ke pusingan 16 terakhir dan pernah menewaskan Borussia Dortmund, namun apabila berdepan pasukan terbaik dari Jerman itu, mereka seolah-olah langsung tidak wujud di atas padang.”
“Saya melihat [Bayern Munich] sebuah pasukan yang melakukan tekanan tinggi dan berlari tanpa henti, dengan kualiti yang mengagumkan di seluruh pasukan dari segi hantaran dan visi permainan.”
“Setiap kali mereka merampas kembali bola, mereka terus bermain secara menegak dan memecut ke ruang kosong.”
“Dengan teknik seperti itu, mereka jelas menimbulkan masalah kepada Atalanta, yang agak terlalu berani dan ofensif, seolah-olah mereka tidak menyedari sedang berdepan pasukan yang begitu kuat,” tambah beliau lagi.