Presiden kehormat Bayern Munich, Uli Hoeness berkata kelab itu untung besar kerana memutuskan untuk tidak mengejar perpindahan berharga tinggi bagi mendapatkan khidat Benjamin Sesko, Xavi Simons dan Jamie Gittens.
Pasukan gergasi Bundesliga itu sebelum ini dikaitkan dengan ketiga-tiga pemain sebelum mereka masing-masing menyertai Manchester United, Tottenham Hotspur dan Chelsea pada jendela perpindahan musim panas tempoh hari.
Baca Juga:
- Gary Neville: Sesko Masih Jauh Lagi Nak Dapatkan Tahap Terbaik

- Harry Kane Jawab Sindiran Owen Tentang Keputusannya Ke Bayern Munich

- Oliver Kahn Anggap Liga Jerman Semakin Membosankan Kerana Dah Tahu Bayern Akan Juara

Sesko, Simons dan Gittens dilihat sebagai antara pembelian paling menarik di Liga Perdana menjelang musim 2025/26.
Tiga pemain muda ini menerima pujian meluas atas prestasi mereka di Bundesliga dimana Sesko dan Simons bersama RB Leipzig manakala Gittens pula menyarung jersi Borussia Dortmund.
Keadaan itu mendorong kepada minat Manchester United, Tottenham dan Chelsea mengeluarkan jumlah wang yang besar untuk mendapatkan tandatangan pemain-pemain tersebut.

Namun, ketiga-tiga pemain muda ini masih mencari rentak bersama pasukan baharu mereka.
Sesko, yang berpindah ke United dengan nilai £74 juta dan kini sedang berehat akibat kecederaan lutut, hanya menjaringkan dua gol dalam 11 penampilan liga.
Sementara itu, Simons yang menyertai Spurs dengan nilai £52 juta pula masih mencari gol liga pertamanya untuk kelab walaupun pemain kebangsaan Belanda itu telah mencatat satu bantuan gol.
Sebaliknya, Gittens juga sedang menanti gol liga pertamanya sejak menyertai Chelsea dalam perpindahan bernilai £55 juta tetapi beliau berjaya menjaringkan gol ketika kemenangan 4-3 Chelsea ke atas Wolves dalam saingan Piala Carabao pada 29 Oktober lalu.
Bayern Lebih Berjimat
Melihatkan kepada perkembangan semasa tersebut, Hoeness bersyukur Bayern Munich tidak perlu berbelanja besar.
“Selama berbulan-bulan, kami dituduh tidak membeli pemain kelas atasan atau berpengalaman yang cukup,” ujar beliau menurut sumber laporan Goal.
“Itulah yang kini menjadi kelebihan besar bagi kami, kerana kami semua sepakat untuk tidak membeli pemain mahal seperti Xavi [Simons] atau [Jamie] Gittens, yang pernah dibincangkan, atau [Benjamin] Sesko, yang berharga €80 juta.”
“Sebaliknya, kami berkata, baiklah, jangan buat apa-apa, kita cuma pinjam [Nicolas] Jackson dari Chelsea. Dan begitulah cara kami memperoleh bajet perpindahan yang agak seimbang.”
“Selain itu, kami juga mempunyai jurulatih [Vincent Kompany] yang bersetuju memberi peluang kepada pemain muda.”
“Keputusan mengenai Thomas Muller [membenarkan penyerang itu meninggalkan kelab selepas kontraknya tamat] juga amat sukar, tetapi penting.”
“Kerana satu perkara jelas, jika Thomas Muller kekal, beliau akan berada di bangku simpanan dan kemudian seluruh stadium akan melaungkan ‘Muller, Muller’ setiap kali seseorang ditukarkan.”
“Dan ketika itu, [Lennart] Karl dan [Tom] Bischof akan tersisih ke tepi padang,” ujar beliau yang beraksi untuk Bayern Munich pada era 70-an.