Terengganu Marvels menoktahkan kempen Netball Super League (NSL) 2026 dengan penuh bergaya selepas muncul juara hasil kejayaan menundukkan Johor Jewels 70-63 pada aksi final yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara sebentar tadi.

Lebih manis, skuad kendalian Siti Norfarhana Mustafa itu berhasil mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus sepanjang kempen musim ini dan ia merupakan kejuaraan pertama dalam sejarah NSL buat Terengganu Marvels.

Penyokong yang  memenuhi segenap ruang stadium disajikan dengan corak permainan penuh intensiti oleh kedua-dua pasukan.

Suku pertama jelas cukup menarik untuk disaksikan apabila kedudukan terikat 17-17.

Memasuki suku kedua, barisan pertahanan Marvels dikepalai Cornelia Tjatjiua (GK), Adalia Jasmine (GD) dan Najiha Iman (WD) mempamerkan corak bertahan yang menyukarkan serangan Johor Jewels.

Malah, Tendai Masamba (GA) dan Siti Maisarah Afandi (GS) pula cukup tajam dalam menghadiahkan mata demi mata buat Marvels untuk mendahului 36-32.

Sejarah Buat Terengganu Marvels

Aksi kemas dipamerkan barisan pemain Marvels nyata membuatkan pemain Jewels berada dalam tekanan hingga menyebabkan kesilapan mudah dilakukan.

Adalia juga cukup cemerlang dengan lima intercept dilakukan menjadi bukti kemampuan hebatnya pada perlawanan ini.

Kesempatan itu diambil sepenuhnya Terengganu Marvels untuk memastikan kejuaraan menjadi milik mereka dengan kemenangan sekali gus melakar sejarah baharu dalam saingan NSL.